'Gencatan senjata' dalam Bersatu rapuh?

SETIBANYA penulis di pekarangan Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa malam, suasana yang terpampang bukan sekadar rutin menyambut ketua parti.

Sekumpulan ahli dan pemimpin akar umbi kelihatan berhimpun sambil memegang sepanduk ‘Bersatu Bahagian Bersama TSMY’, menantikan kehadiran Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejurus kenderaan beliau tiba di pekarangan Yayasan Selangor, laungan ‘Hidup Tan Sri, Hidup Abah!’ bergema memecah ruang, menggambarkan sokongan terbuka terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelang mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Pada pandangan luar, ia mungkin kelihatan seperti sambutan biasa penyokong kepada pemimpin parti. Namun, dalam konteks Bersatu yang sedang bergolak, detik itu mengungkap makna yang jauh lebih mendalam.

Pergolakan antara dua kumpulan - kem Muhyiddin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin - kini sudah menjadi rahsia terbuka.

Justeru, sambutan hangat terhadap Muhyiddin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sebagai indikator terkini arah sokongan dalam parti.

**media[3331510]**

Usai mesyuarat yang berakhir sekitar 10.30 malam, Muhyiddin mengumumkan seluruh ahli MPT telah mencapai kata sepakat untuk menghentikan kemelut dalaman.

“Hari ini (Selasa malam) mesyuarat MPT berjalan dengan cukup aman, damai dan sempurna. Kita menghadapi sedikit sebanyak masalah, tapi hari ini semua bersepakat supaya kita mencari jalan seberapa segera yang mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jemaah yang cukup padu dan kuat.

“Kerana kami memikirkan soal kebajikan rakyat yang serta persiapan kita untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Jadi sebab itu kita memerlukan satu pasukan yang cukup kuat. Kami sedar dan bersetuju supaya (kemelut) perlu dihentikan. Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan,” kata Muhyiddin kepada pemberita.

Mohamed Azmin pula menegaskan bahawa kepimpinan Bersatu bukan berperang sesama sendiri, sebaliknya hanya berbeza pandangan.

Menurutnya, ruang penyatuan masih luas dalam tradisi demokrasi parti.

Namun, mesej perdamaian itu tidak sepenuhnya senada. Hamzah dilihat bergegas meninggalkan lokasi tanpa memberi sebarang kenyataan kepada media, diikuti beberapa ahli MPT dipercayai penyokongnya.

**media[3331509]**

Lebih mengundang perhatian, sekumpulan penyokong Mohamed Azmin bersorak ‘Kita menang!’ dan ‘Tahniah Datuk Seri!’ ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu keluar dari bangunan.

Menilai pelbagai sudut pandang politik berdasarkan senario Selasa malam itu, gencatan senjata politik yang diumumkan itu hakikatnya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada pencerahan.

Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Lembaga Rayuan dipengerusikan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi menangani konflik dalaman secara teratur namun keberkesanannya masih jadi tanda tanya.

Penganalisis politik dari UniSZA, Dr Mohamad Hafis Amat Simin menilai langkah itu sebagai strategi taktikal menjelang PRN Sabah.

**media[3331511]**

“Persoalannya, sejauh mana kesepakatan ini mampu bertahan apabila tekanan politik dan kepentingan individu kembali menguasai dinamika parti?

“Penubuhan Lembaga Rayuan bagi menangani isu dalaman dilihat sebagai langkah ke arah memuktamadkan pencarian titik pertemuan penyelesaian konflik.

“Namun, jika fungsi lembaga ini hanya bersifat kosmetik dan tidak disokong dengan komitmen politik tulen dan ikhlas, maka ia tidak lebih sekadar ‘menjaga air muka’ bagi meredakan persepsi umum bahawa Bersatu sedang berpecah,” kata beliau.

Dari sudut persepsi awam, katanya, gencatan senjata politik ini boleh memberikan suntikan imej positif selain menampilkan Bersatu sebagai parti yang matang dan pragmatik dalam menghadapi cabaran politik.

“Namun, dalam landskap politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang penuh skeptikal dan retorik, rakyat tidak lagi mudah terpesona dengan simbolik perpaduan,” jelas Mohamad Hafis.

Di sebalik pengumuman gencatan politik dan penubuhan Lembaga Rayuan dalam Bersatu, naratif perdamaian itu dilihat masih berdepan persoalan sama ada mampu memulihkan parti atau sekadar menjadi bom jangka kepada bibit perpecahan lebih besar.

Ahli Parlimen Gerik daripada Bersatu, Fathul Huzir Ayob mengakui akar masalah Bersatu bermula sejak awal pembentukan parti itu dengan ramai ahli sebenarnya mengharapkan Bersatu tidak mengulangi kesilapan parti Melayu lain termasuk UMNO, Pas dan PKR.

**media[3331512]**

Bagaimanapun, apabila kewujudan kelompok membawa agenda dan kepentingan politik peribadi semakin berleluasa dalam Bersatu, hala tuju parti ini tampak semakin lari daripada landasan sebenar perjuangan.

“Bila parti ini pun ada senario cah keting dan perebutan jawatan macam parti Melayu lain, saya sendiri pun kecewa. Kalau berterusan keadaan macam ini, parti ini tidak boleh pergi jauh.

“Kena ingat, banyak ketua bahagian dan ahli Parlimen Bersatu yang terpaksa keluarkan duit sendiri untuk operasi parti di peringkat akar umbi demi pertahankan perjuangan Melayu dan Islam.

“Kini bila keputusan mesyuarat agung cawangan dan bahagian pun dibatalkan tanpa sebarang penjelasan, akar umbi kecewa. Jangan ingat akar umbi diam bermakna mereka bodoh,” kata Fathul Huzir.

Justeru, beliau menggesa pelan perdamaian terkini diumumkan Muhyiddin seusai mesyuarat MPT Bersatu perlu dilaksanakan secara ikhlas dengan penuh kesungguhan politik.

“Sekiranya Datuk Seri Hamzah dipecat dan ramai pemimpin Bersatu dikenakan tindakan disiplin, siapa yang akan tinggal dalam parti? Bila tiada figura berpengaruh dalam parti, siapa yang berminat untuk menyertai parti?

“Pucuk kepimpinan kena benar-benar bertekad untuk harmonikan keadaan. Jangan bersikap kebudak-budakan dalam menghukum mana-mana pemimpin yang bercanggah pandangan.

“Ahli-ahli akar umbi bukan bodoh, mereka diam bukan bermakna mereka reda. Saya pun akan pertimbang keluar pada parti jika keadaan semakin cacamarba,” tegasnya.

Kemelut terbaharu Bersatu bermula sejak awal September 2025 apabila dakwaan muncul bahawa Muhyiddin cuba dijatuhkan bagi memberi laluan kepada Hamzah menerajui parti.

Seminggu sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu pada 6 dan 7 September, tersebar sepucuk surat layang mendakwa wujud gerakan terancang menolak Muhyiddin dan menaikkan Hamzah sebagai presiden baharu.

Pada 8 September, sumber parti mendedahkan sekitar 120 ketua bahagian menandatangani akuan berkanun (SD) mendesak Muhyiddin berundur.

Ketua Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi, mengesahkan beliau antara penandatangan kerana bimbang masa depan parti dan kemungkinan Pas meninggalkan PN jika krisis tidak reda.

Pada 6 September, ketika merasmikan AGM, Muhyiddin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang mahu menekan beliau, menyeru mereka menghormati perlembagaan parti. Ucapan itu mencetuskan ketegangan dalam dewan, termasuk jeritan antara perwakilan.

Keesokan harinya (7 September), MPT bersidang dan bersetuju menghentikan perbalahan secara terbuka. AGM kemudiannya meluluskan usul mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden dan calon Perdana Menteri PN.

Hamzah pula dalam ucapannya menyatakan kesetiaan, manakala Muhyiddin berterima kasih kepada Pas atas sokongan kepada kepimpinannya.

Krisis memasuki fasa lebih panas pada 14 Oktober apabila Lembaga Disiplin memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal. Empat ketua bahagian turut digugurkan.

Tindakan itu mencetuskan kegelisahan sehingga 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat pada 23 Oktober mendesak penyelesaian segera.

Kandungan dokumen yang tersebar antara lain menyebut pendirian mereka yang beranggapan tindakan memecat Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai tindakan tidak bijak serta mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap PN.

Antara yang menandatangani dokumen itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Bagaimanapun setakat ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk 16 Ahli Parlimen Bersatu yang disebut dalam dokumen itu tampil mengulas atau menafikan berkenaan dokumen yang tular terbabit.

Dan kelmarin, MPT mengumumkan “gencatan dalaman”, dengan Muhyiddin menegaskan tindakan akan diambil jika pertelagahan berulang.