Nasib Saifuddin kini di tangan Lembaga Displin Bersatu petang ini

SHAH ALAM - Di sebalik penegasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersepakat untuk menghentikan kemelut dalaman, seorang ahli Parlimen parti itu mengesahkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu pada jam 2 petang ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan hadir memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin sambil mendedahkan tidak menerima sebarang notis penangguhan berhubung perkara itu.

"Ya pukul 2 petang ini (prosedur keterangan kepada Lembaga Disiplin Bersatu)," katanya kepada Sinar Harian melalui satu kiriman pesanan Whatsapp ringkas.

Sebelum ini, Saifuddin yang juga Ahli MPT Bersatu dilaporkan bakal dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu bagi siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin.

**media[3331928]**

Sinar Harian sebelum ini mendedahkan proses siasatan Saifuddin bersama Lembaga Disiplin itu akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

"Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya.

"Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang," kata Saifuddin.

Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025.

Minggu lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.

Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail yang mengesahkan perkara itu menyatakan mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali; serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.

Pada pertengahan Oktober, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada masa sama, tiga ketua bahagian Bersatu turut dipecat iaitu Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang) serta Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Terkini, dalam satu mesyuarat MPT berlangsung di ibu pejabat Bersatu pada Selasa malam, Muhyiddin mengumumkan seluruh ahli MPT telah mencapai kata sepakat untuk menghentikan kemelut dalaman.