KOTA BHARU - Pas berharap kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat diselesaikan segera bagi mengelak sebarang kesan negatif terhadap Perikatan Nasional (PN) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun mereka (Pas) tidak akan masuk campur dalam urusan dalaman Bersatu, penyelesaian segera isu berkenaan penting demi menjaga kestabilan dan kekuatan gabungan itu.
“Dari segi kesan, memang ada sedikit sebanyak kerana kita duduk bersama dalam PN. Jadi kita harap Bersatu dapat selesaikan masalah ini secepat mungkin.
“Kita tidak boleh campur tangan sebab itu tidak komen apa-apa, cuma harap semuanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan, semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan Bersatu menjelang PRN Sabah.
Menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat parti itu pada Selasa melibatkan kehadiran hampir semua kepimpinan tertinggi parti.