SHAH ALAM - Orang ramai berpendapat Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos, mengurangkan ketegangan politik serta memudahkan urusan pentadbiran.
Hasil tinjauan undian (poll) yang dijalankan oleh Sinar Harian di pelbagai platform media sosial sehingga jam 1 tengah hari menunjukkan majoriti besar responden menyokong cadangan tersebut.
Di Facebook Sinar Harian, sebanyak 91 peratus (77 undi) menyatakan persetujuan agar PRU dan PRN dijalankan serentak, manakala lapan peratus (enam undi) tidak bersetuju dan satu peratus (satu undi) memilih untuk tidak pasti.
Sementara itu, di aplikasi X (Twitter), keputusan menunjukkan 81.7 peratus daripada 82 undi menyokong pelaksanaan serentak, 14.6 peratus menolak dan 3.7 peratus tidak pasti.
Bagi platform YouTube, yang merekodkan jumlah undi tertinggi iaitu 1,400 undi, 89 peratus menyatakan setuju, lapan peratus tidak setuju, manakala dua peratus tidak pasti.
Di Threads, sokongan terhadap pelaksanaan serentak itu juga sangat tinggi apabila 92 peratus daripada 66 undi menyatakan persetujuan, lapan peratus tidak bersetuju dan tiada responden yang tidak pasti.
Sementara di Instagram, sebanyak 90 peratus daripada 162 undi bersetuju, lapan peratus tidak bersetuju dan dua peratus tidak pasti.
Secara keseluruhannya, keputusan tinjauan di semua platform menunjukkan purata pengguna media sosial menyokong agar PRU dan PRN dijalankan pada masa yang sama.