PRN Sabah: Kerusi ADUN 'lompat' terbuka untuk dirunding, PKR hanya mahu Petagas-Mustapha

PUTATAN - Mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengalami perubahan selepas pilihan raya negeri (PRN) pada tahun 2020 kekal terbuka untuk dirunding, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau memberikan contoh kerusi DUN Petagas yang sebelum ini dimenangi atas tiket Parti Warisan namun wakil rakyat kini telah beralih kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus menjadikan kerusi itu termasuk dalam kategori kerusi yang boleh dirundingkan.

"Petagas ini unik, dia bukan kerusi penyandang Gagasan Rakyat, ini dulu dimenangi oleh Warisan. Jadi, kerusi-kerusi yang bukan kerusi penyandang ini adalah tertakluk kepada rundingan.

"Tapi satu yang kita kena faham yang dipanggil 'role of incumbency' mana-mana kerusi yang memang dimenangi oleh parti itu dari tahun 2020, yang itu kita kena hormati, tetapi mana-mana kerusi yang istilahnya berubah selepas itu, boleh dirundingkan, jadi inilah Petagas," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Jelajah Harapan Urang Sabah di Kampung Ketiau, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat penyandang DUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang ingin mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menjelaskan bahawa tuntutan bagi kerusi DUN Petagas dibuat berdasarkan kekuatan sokongan parti tersebut di kawasan berkenaan.

"Ini adalah Parlimen kita, orang kena tahu, Awang Husaini Sahari telah menjadi ahli Parlimen di sini dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan bahawa prestasi kita amat baik dan kita hanya kalah 124 undi saja.

"Asas penyokong kita di sini kuat. Jadi itu yang kita kata, kita ada asas untuk kita meletakkan calon kita di DUN Petagas ini. Itu pun kita minta satu saja walaupun kalau boleh dengan 124 undi, kita boleh sebenarnya untuk kesemua DUN," katanya.

Tambahnya, langkah itu juga menggambarkan kesediaan PKR untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam gabungan bagi memastikan kemenangan bersama pada PRN-17, justeru parti itu hanya menuntut satu kerusi sahaja iaitu DUN Petagas.