KOTA KINABALU - Perikatan Nasional (PN) mempunyai akar perjuangan yang kuat di negeri ini dan keyakinan itu menjadi asas gabungan itu untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, perjuangan PN bukan berasal dari Semenanjung seperti sering digambarkan, sebaliknya Sabah adalah antara negeri awal yang menggerakkan gerakan politik gabungan itu.
"Kalau di Semenanjung tembuni ini dipanggil uri. Jadi sudah banyak diulas untuk kita lebih yakin bahawa PN ini tembuninya ditanam di negeri Sabah, kita bukan parti Semenanjung.
"Tembuni PN ini pertama sekali ditanam di negeri Sabah, maka mustahil kita tidak boleh menang dalam konteks DUN Karambunai ini. Kita yakin yang belum ditanam tembuninya di sini dalam Karambunai ini, kali ini kita mahu tanam tembuninya di Karambunai dengan syarat kita kena bekerja bersungguh-sungguh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera PN di Padang Taman Sepanggar.
Beliau yang dijangka bertanding di kerusi DUN Karambunai turut berkata, pendekatan politik nilai dan akhlak akan menjadi teras gerak kerja jentera PN di kawasan tersebut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik.
"Kita sangat menekankan politik nilai dan politik akhlak. Politik kebaikan, politik yang tidak mendatangkan dendam, hasad, maki hamun atau caci maki. Saya rasa PN di Karambunai kena berpegang pada perkara yang pertama ini.
"Kita juga kena mesra untuk semua. Siapapun mereka hatta kalau di rumahnya tergantung bendera parti lawan sekalipun, santuni semua. Sebab dalam pilihan raya lepas terbukti Karambunai ini, yang menang hanya dengan 16 undi sahaja," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua jentera untuk memberi fokus kepada masa depan Sabah melalui mandat baharu di kerusi berkenaan.