SHAH ALAM – Parti Amanah kekal dengan pendirian menyokong supaya pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak bagi menjimatkan kos dan memudahkan pengurusan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian itu telah disuarakan sejak selepas PRN di empat negeri sebelum ini.
“Pelaksanaan pilihan raya serentak akan memberi penjimatan besar bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada semua parti politik yang bertanding.
“Selepas PRN empat negeri dahulu, Amanah sudah lontarkan idea supaya PRU16 nanti dibuat secara serentak. Ia langkah terbaik untuk menjimatkan kos kepada negara, kerajaan dan juga parti-parti politik,” katanya kepada Sinar Harian.
Mahfuz berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu memperuntukkan bajet besar sekiranya semua negeri bersetuju mengadakan pilihan raya pada masa yang sama.
“Kalau dibuat berasingan, SPR terpaksa keluarkan peruntukkan dua atau tiga kali. Tapi kalau serentak, sekali saja perbelanjaannya. Begitu juga dengan parti-parti politik, calon pun hanya perlu belanja sekali,” katanya.
Jelas Mahfuz lagi, semua pihak sering menekankan soal mengelak ketirisan dan pembaziran maka langkah mengadakan pilihan raya serentak adalah bukti komitmen sebenar terhadap seruan itu.
“Kalau kita betul-betul mahu kurangkan pembaziran, inilah buktinya buat pilihan raya sekali, bukan berasingan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berpandangan, pelaksanaan pilihan raya serentak adalah langkah yang baik kerana dapat menjimatkan kos dan mengelak pengulangan proses pilihan raya.
“Kerajaan mungkin akan memilih untuk mengadakan pilihan raya serentak kerana jika dibuat berasingan, ia akan menambah kos termasuk risiko penyalahgunaan jentera kerajaan.
“Kita juga menjangkakan pilihan raya akan diadakan lebih awal dan disekalikan dengan beberapa PRN kerana faktor ekonomi semasa, hutang negara, aliran tunai dan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi,” katanya.
Tambah beliau, kesan tarif Amerika Syarikat (AS) serta komitmen pelaburan kerajaan dalam ekonomi negara itu mungkin belum dirasai dalam masa terdekat, namun menjelang 2027 keadaan dijangka bertambah sukar.
“Jadi, tidak mustahil tahun 2026 akan dimanfaatkan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu sebelum keadaan ekonomi bertambah teruk,” ujarnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sekali lagi menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan PRU dan PRN serentak.