SHAH ALAM – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang didakwa menyerang Presiden Pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, tindakan tersebut dipercayai bermotifkan kepentingan peribadi serta kelompok tertentu yang dilihat cuba merosakkan parti dari dalam.
“Serangan secara terbuka ini sudah menzahirkan niat dan motif di sebaliknya. Sekiranya beliau telah hilang kepercayaan terhadap Presiden, lebih baik Saifuddin meninggalkan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Harris, Armada turut menggesa Lembaga Disiplin Bersatu mengambil tindakan tegas dan segera terhadap Saifuddin tanpa perlu menunggu aduan serta proses siasatan yang berpanjangan.
Beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana individu lebih besar daripada parti, justeru disiplin dan kesetiaan kepada wadah perjuangan perlu dipertahankan oleh setiap ahli.
“Barang siapa yang mengulangi perilaku yang menggugat kestabilan parti, mereka juga adalah pengkhianat yang harus disingkirkan segera,” tegasnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, lantang mengkritik kepimpinan tertinggi parti dan mendesak agar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan tersebut.
Susulan itu, Jelajah Semarak Bersatu Fasa 1 Johor–Melaka digerakkan oleh kumpulan yang diketuai beberapa Ketua Bahagian termasuk Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Musa Khamis (Tanjung Piai), Datuk Rashid Hasnon (Parit Sulong), Abdul Halim Abu Bakar (Mersing) dan Datuk Isa Hamid (Pontian).
Mereka turut mendesak agar Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden, selain menuntut Datuk Seri Azmin Ali digugurkan daripada jawatan yang disandang dan Datuk Tun Faisal digantikan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.
Gerakan itu muncul selepas siri tindakan disiplin terhadap beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin utama Bersatu yang dipecat atau digantung susulan pendirian mereka menyokong kerajaan.