Shafie gesa cuti khas, tambang murah untuk rakyat Sabah pulang mengundi

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa majikan di Semenanjung Malaysia supaya memberi cuti khas tanpa rekod kepada rakyat Sabah yang bekerja di luar negeri itu bagi membolehkan mereka pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengundi tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Kalau tidak boleh undi pos, bagilah cuti pula. Saya harap ada pertimbangan kerana ada antara mereka penjawat awam dan pekerja swasta yang layak mengundi dan perlu menunaikan hak mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sehingga kini belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan undi pos bagi rakyat Sabah yang berada di Semenanjung.

Menurut Shafie, jika kemudahan undi pos masih belum tersedia, maka majikan wajar memberi ruang kepada pekerja Sabah untuk pulang mengundi tanpa menjejaskan gaji atau cuti tahunan mereka.

“Saya harap sangat agar cuti dapat diberikan tanpa rekod, jangan pula nanti dipotong gaji,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru syarikat penerbangan agar mempertimbangkan pengurangan kadar tambang bagi membantu rakyat Sabah pulang ke negeri asal untuk mengundi.

“Saya telah berbincang dengan pihak berkuasa dan syarikat penerbangan supaya sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar tambang bagi mereka yang mahu balik mengundi, kerana ini hak rakyat yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Menurut Shafie, beliau menyedari ramai anak muda Sabah kini bekerja di pelbagai sektor di Semenanjung, malah sebahagiannya berada di luar negara seperti Singapura dan Hong Kong.

“Ramai anak kita bekerja di kilang, restoran, hotel. Saya pernah bertemu dengan mereka, ada yang bertanya, ‘Datuk Seri, boleh ka kami balik mengundi?’” katanya.

Shafie turut menegaskan bahawa peluang untuk mengundi harus dijamin kepada semua pengundi Sabah, kerana masa depan negeri bergantung kepada penyertaan mereka.

“Mereka semua berselerak, ada di Johor, Pulau Pinang, Singapura dan Hong Kong mencari rezeki. Sangat penting untuk kita pastikan Sabah dapat dibangunkan agar anak-anak kita tidak perlu lagi berhijrah jauh untuk mencari nafkah,” katanya.