JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, terlalu 'obses dengan kerusi' berbanding memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, tindakan Dzulkefly yang menolak sebarang rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) serta mendakwa kerjasama politik akan mengelirukan pengundi menunjukkan sikap tamak dan tidak berprinsip.
“UMNO Johor tidak pernah menghalang Dzulkefly Ahmad atau Amanah Johor untuk bertanding di mana-mana kerusi yang mereka suka.
"Jika beliau yakin dengan kekuatan Amanah, silakan bertanding termasuk menentang BN kerana kami sentiasa bersedia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, menariknya hanya Dzulkefly seorang yang lantang mengenai agihan kerusi sedangkan tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Amanah Pusat berhubung perkara itu.
“Dalam keadaan kerajaan negeri sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, beliau pula sibuk menuntut kerusi. Ini bukti sikap kemaruk kuasa dan tidak mementingkan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang berpolitik sepanjang masa.
Pada Khamis, Amanah Johor menegaskan kesediaan untuk berdepan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang tanpa bergantung kepada sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun di peringkat Persekutuan wujud Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, namun realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa sebarang penglibatan rasmi PH.
Sebelum itu, pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027 sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula memenangi tiga kerusi dengan Bersatu dua kerusi manakala Pas satu dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.