Bersatu pecat Wan Saiful, gantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan, susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.

Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Menurut kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Bersatu pada Selasa, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.

Sesi pendengaran telah diadakan pada 8 Oktober 2025, dan tindakan disiplin diambil berdasarkan siasatan menyeluruh serta selaras dengan Fasal 9.1.4 dan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli.

Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.

Lembaga Disiplin menegaskan bahawa semua keputusan dibuat secara bebas, telus dan adil tanpa campur tangan pihak luar.

Ahli yang dikenakan tindakan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari.

“Lembaga Disiplin menyeru semua ahli agar terus mematuhi perlembagaan dan kod etika demi menjaga integriti serta nama baik parti,” menurut kenyataan itu. - Awani