SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak-hak keahlian di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh satu penggal pemilihan parti itu berkuat kuasa mulai 13 Oktober 2025.
Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan berkata, perkara tersebut telah diputuskan pihaknya yang bersidang pada 8 Oktober lalu.
Menurutnya, tindakan berkenaan dilakukan atas tindakan Ahli Parlimen Machang itu melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu iaitu mematuhi Perlambagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
"Sila ambil perhatian, bahawa dengan penggantungan tersebut, maka Yang Berhormat secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.
"Sila ambil perhatian juga bahawa Yang Berhormat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," katanya menerusi notis penggantungan keahlian Bersatu bertarikh 13 Oktober 2025.