Ruji jawab spekulasi calon 'payung terjun', Yamani Hafez dan Jamawi terus membisu

KOTA KINABALU – Gerak kerja yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi menolak spekulasi kononnya wujud calon ‘payung terjun’ yang tidak mendapat restu untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Isu mengenai calon ‘payung terjun’ yang dikatakan mencetuskan gelora dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah baru-baru ini dijawab secara berhemah oleh salah seorang individu yang terlibat, sekali gus menolak dakwaan tersebut.

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, yang disebut-sebut sebagai bakal calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, menegaskan bahawa kerjasama erat antara kepimpinan parti di peringkat cabang serta jentera akar umbi membuktikan wujudnya kesepakatan kukuh di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hubungan baik antara Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Kalabakan dan Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR Merotai telah lama terjalin, malah mereka sentiasa berganding bahu dalam pelbagai program parti di kawasan berkenaan.

“Di Cabang Kalabakan, hubungan sangat baik antara AJK Cabang dengan jentera Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR DUN Merotai. Kami sentiasa bekerjasama sejak Julai 2025 lagi untuk menubuhkan BGU dan sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kesepaduan itu menjadi bukti bahawa kerja-kerja parti di Merotai berjalan lancar, malah turut mendapat sokongan daripada jentera di kawasan berhampiran.

"Ketua Cabang Kalabakan sentiasa bersama dalam program-program di DUN Kalabakan," katanya.

Dalam pada itu, menerusi satu video berdurasi 15 saat yang dikongsikan sebelum ini, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan bahawa kepulangan Ruji ke negeri kelahirannya adalah bagi menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

“Datuk Ruji ini dulu Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN). Anak Sabah diberi amanah di KDN, kemudian untuk memenuhi pengalaman, beliau dipindahkan ke Kementerian Perpaduan supaya mengenali semua suku kaum dan budaya.

“Saya kata, sampailah masanya Ruji kamu balik kampung dan jaga orang kampung kamu,” katanya dalam ucapannya ketika berkunjung ke Tawau bulan lalu.

Sebelum ini, timbul desas-desus bahawa PKR Sabah berdepan ketegangan dalaman susulan wujud calon luar yang dikatakan akan 'dipayung terjunkan' di beberapa kawasan termasuk Merotai bagi berdepan dengan pencabar semasa PRN17.

Dua lagi nama yang disebut-sebut, bekas Timbalan Menteri Kewangan II merangkap bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Yamani Hafez Musa dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Jamawi Jaafar yang sebelum ini pernah bersama UMNO dan Warisan.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua individu berkenaan masih belum berhasil apabila mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp sejak Ahad belum dijawab oleh mereka.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di laman Facebook Yamani Hafez mendapati beliau aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dengan turun padang menghulurkan bantuan kepada masyarakat di sekitar Sipitang.

Beliau juga dilihat giat menyokong pelbagai inisiatif anak muda menerusi penganjuran program sukan dan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau antara individu yang bakal merebut kerusi DUN Sindumin yang kini disandang Datuk Dr Yusof Yacob daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Sementara itu, status keahlian beliau dan Jamawi dalam PKR masih belum dapat dipastikan apabila pihak berkaitan terus mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.