Kemasukan Mahathir perkuat barisan hadapan PKR - Tze Tzin

KUALA LUMPUR – Kemasukan bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais dijangka dapat menguatkan barisan hadapan PKR.

Pengarah Strategi Pusat PKR, Sim Tze Tzin berkata, penyertaan Mahathir melambangkan semangat perjuangan reformasi yang terus subur dalam kalangan generasi muda berjiwa pembaharuan.

“Kami dengan penuh rasa hormat dan sukacita menerima penyertaan Dr Mahathir Mohd Rais ke dalam keluarga besar Keadilan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Tze Tzin, Mahathir merupakan tokoh muda yang aktif dalam dunia politik dan advokasi keadilan sosial serta pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) kepada menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran terdahulu.

“Beliau (Mahathir) juga lantang bersuara dan banyak menulis tentang isu ekonomi, keadilan sosial, integriti, tadbir urus baik serta semangat kepelbagaian kaum dan agama,” ujarnya,

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, pengalaman luas dan idealisme Mahathir yang berteraskan perjuangan menegakkan kebenaran serta integriti diyakini akan memperkukuh usaha parti membawa reformasi menyeluruh demi masa depan negara yang lebih adil, makmur dan progresif.

“Keadilan sentiasa membuka pintu kepada semua rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama dalam perjuangan membina negara yang inklusif, progresif dan berteraskan keadilan untuk semua,” katanya.

Mahathir pada Sabtu mengesahkan bahawa beliau secara rasmi menyertai PKR selepas meletakkan jawatan dalam PN dan Bersatu pada Januari lalu.

Bekas Setiausaha Agung Bersatu Wilayah Persekutuan itu memaklumkan keputusannya menyertai PKR dibuat berasaskan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta hala tuju Kerajaan Perpaduan yang menekankan reformasi, keadilan sosial dan integriti pentadbiran.