PAPAR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk bertanding tidak lebih daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Antara kerusi yang diintai termasuk DUN Pantai Manis, Kawang dan Tamparuli dengan tumpuan utama di kawasan Parlimen Papar yang dianggap mempunyai potensi besar untuk parti itu meletakkan calon.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebagai sebuah parti kecil, Pejuang tidak bercita-cita besar untuk bertanding di banyak kerusi, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dengan gabungan politik utama.
"Kami ini sebuah parti kecil, maka tentulah kita tidak mempunyai cita-cita besar untuk bertanding banyak kerusi, nak tubuh kerajaan, nak jadi Ketua Menteri dan sebagainya.
“Sebaliknya, kami rasakan sesuai bagi kami untuk sekurang-kurangnya ada pakatan elektoral dengan gabungan-gabungan besar yang lain. Setakat ini, seperti mana yang mungkin semua sudah sedia maklum, kami memang menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Masyarakat DUN Pantai Manis pada Ahad.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, kerusi yang disasarkan Pejuang masih belum diputuskan sepenuhnya dan akan ditentukan selepas perbincangan bersama PN dimuktamadkan.
“Saya akui bahawa di Papar ini, kedua-duanya Pantai Manis dan Kawang adalah antara dua DUN yang kami berminat. Tapi seperti yang saya katakan tadi, belum ada keputusan muktamad.
“Untuk makluman, Ketua Negeri Pejuang di Sabah, Nicholas Sylvester, memang anak jati Papar. Keluarganya juga di sini dan beliau tokoh yang dikenali ramai. Saya fikir beliau sesuai sekiranya kita boleh menawarkan calon di PRN Sabah ini, insya-ALLAH. Sabah ini luas, 73 kerusi itu banyak, tapi antara yang kami lihat selain Papar ialah Tamparuli,” katanya.
Menyentuh mengenai rundingan dengan PN, Mukhriz berkata, proses perbincangan kini berada di peringkat akhir dan dijangka mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.
“Beberapa siri perbincangan telah kami adakan bersama wakil PN, termasuk berkaitan PRN Sabah ini. Proses rundingan masih berjalan dan belum ada kata putus, tetapi saya rasa dalam masa terdekat, insya-Allah kita akan capai kesepakatan yang akan saling menguatkan menjelang PRN.
“Kita sudah di peringkat hampir akhir rundingan. Tentunya sebelum pengumuman calon dibuat, kita akan ada keputusan,” jelasnya.
Mukhriz turut menjelaskan bahawa kenyataan PN mengenai 36 kerusi yang akan ditandingi gabungan itu tidak termasuk kerusi yang berpotensi diperuntukkan kepada Pejuang.
“Saya kira tidak, sebab seperti kita tahu, 36 itu tidak sampai separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi DUN. Tentunya masih ada kerusi lain yang mungkin akan ditandingi oleh parti-parti lain yang bekerjasama dengan PN, dan kami antara yang terlibat,” katanya.