Armizan sangkal dakwaan kerajaan Persekutuan muflis jika Sabah tuntut 40 peratus

PAPAR - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan akan muflis sekiranya tuntutan hasil 40 peratus kepada kerajaan Sabah ditunaikan.

Ini kerana katanya, sebelum ini terdapat pemimpin parti tertentu yang mendakwa pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah akan menyebabkan kerajaan Persekutuan muflis.

“Saya tidak tahulah, kamu pun pernah dengar juga ada pemimpin satu parti ini yang mengaku pejuang Sabah tapi dia sendiri kata kalau diberi 40 peratus ini, kerajaan Persekutuan akan ‘bankrupt’.

"Dia juga kata kalau kerajaan Persekutuan muflis, Sabah pun muflis. Jadi saya tertanya, macam mana kita sebagai orang Sabah mahu berjuang kalau ada pemimpin yang lebih fikirkan kerajaan Persekutuan daripada negeri sendiri?

"Bagi saya, kalau beri 40 peratus itu pun, tidak akan muflis kerajaan Persekutuan. Tapi kalau mentaliti sebegitu yang dibawa pemimpin Sabah, susahlah kita mahu berjuang untuk hak negeri ini," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, di Kampung Ulu Sapat di sini pada Ahad.

Menurut Armizan, isu berhubung tuntutan 40 peratus ini sering dimanipulasi oleh pembangkang khususnya Parti Warisan yang memainkan naratif negatif dan tidak berasaskan fakta sebenar.

"Itu sebab saya buat sidang media ini. Saya rasa sudah tiba masanya jentera GRS memberi penjelasan yang tepat kepada rakyat.

"Sebelum ini, mereka (Warisan) manipulasi isu 40 peratus dan MA63. Tapi bila mereka berkuasa pada tahun 2018, mereka sendiri tidak memperjuangkan hak tersebut," katanya.

Beliau turut membidas sikap pemimpin Warisan yang sebelum ini mendakwa sebagai penyelamat dan pejuang hak Sabah, namun ketika berhadapan dengan kerajaan Persekutuan, bersetuju menerima nilai interim RM53.4 juta tanpa banyak soal.

"Kerajaan Persekutuan tawar RM53.4 juta, mereka terus setuju. Tidak ada pun perjuangan atau rundingan lanjut untuk mempertahankan hak Sabah yang diperjuangkan sekian lama," katanya.

Ketika ditanya sama ada peningkatan nilai interim hasil Sabah akan menjadi antara asas dalam manifesto GRS Armizan berkata, perkara itu sememangnya menjadi teras utama perjuangan gabungan berkenaan. 

"Itu akan kekal menjadi perkara asas. Kita mahu jumlah itu terus dibincangkan dan ditingkatkan. Kita tetap komited kerana formula asas Sabah berbeza dengan Sarawak di bawah Perkara 112C dan 112D.

"Sarawak tidak disebut secara jelas, tapi ini kebijaksanaan pejuang terdahulu kita di Sabah yang menetapkan formula 40 peratus mesti dikembalikan.

"Kalau kita abaikan formula itu, maknanya kita mengkhianati perjuangan asal Sabah. Sebab itu kita akan terus pertahankan hak ini supaya ia menjadi sebahagian teras manifesto GRS,” tegasnya.