Warisan kekal mesra kerajaan Persekutuan jika menang PRN Sabah - Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan bahawa partinya akan kekal bersikap mesra dengan kerajaan Persekutuan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Beliau berkata, Warisan ketika ini juga bersikap mesra dengan Kerajaan Perpaduan, dan menyatakan bahawa adiknya kini menjawat jawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan.

“Kami mesra dengan Sarawak, kami juga mesra dengan Persekutuan. Adik saya pun Timbalan Menteri di Persekutuan.

“Saya sudah lama menjalin hubungan baik dengan semua rakan pemimpin kerajaan sedia ada, sama ada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat.

“Cuma apa yang saya nyatakan, kami mahu mentadbir Sabah kerana orang Sabah tahu apa yang terbaik untuk negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan, di sini pada Rabu.

Shafie turut menjadikan hubungan kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan sebagai contoh bagaimana kerjasama yang harmoni boleh terjalin meskipun parti pemerintah negeri bukan sebahagian daripada kerajaan pusat.

“Kalau di Sarawak, meskipun PKR dan DAP merupakan pembangkang di negeri itu, menteri-menteri Persekutuan tetap boleh turun ke sana.

“Abang Johari bukan daripada PKR, tetapi hubungan dengan kerajaan pusat tetap baik.

“Jadi, kenapa pula bila di Sabah, Warisan dianggap jahat atau salah kalau mahu bersikap mesra dengan kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Shafie turut menegaskan bahawa matlamat Warisan adalah untuk membina kerjasama dengan rakyat, bukan untuk mencetuskan perbalahan politik.

“Saya bukan buat jahat. Rakyat perlu lihat dengan teliti apa yang sebenarnya diutarakan oleh Warisan,” katanya.

Bekas Menteri Perpaduan itu turut mengingatkan bahawa beliau pernah memegang tanggungjawab menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di peringkat Persekutuan.

“Saya mantan Menteri Perpaduan, bertahun saya pegang jawatan itu. Tujuan saya ialah menyatukan rakyat Sabah dalam satu landasan yang dinamakan Warisan.

“Kalau terlalu banyak parti, ini gabung sana, itu lompat sini, tidak dapat jawatan atau kerusi, akhirnya melompat keluar,” ujarnya.

Shafie juga menegaskan bahawa fokus utama parti ketika ini adalah untuk menang dalam pilihan raya, manakala soal kerjasama politik boleh dipertimbangkan kemudian.

“Kita mahu menang lebih banyak kerusi. Kita berdoa agar kemenangan berpihak kepada kita.

“Soal kerjasama boleh diketepikan dahulu; yang penting sekarang ialah usaha memastikan kemenangan,” katanya.

Pernah Bekerjasama dengan Tun Mahathir dan PH

Shafie turut berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan gabungan Pakatan Harapan.

“Saya pernah bekerjasama dengan Tun Mahathir dengan janji bahawa parti tertentu tidak akan masuk ke Sabah. Tapi akhirnya mereka masuk juga.

“Kemudian saya bekerjasama dengan PH untuk menjatuhkan BN, dan kami berjaya hingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara,” katanya.

Mengenai sentimen politik semasa di Sabah, Shafie berkata rakyat kini semakin sedar tentang kepentingan menyatukan suara negeri dan memperjuangkan hak Sabah.

“Semasa jelajah dan pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar universiti, pensyarah, dan pegawai kerajaan mereka menyatakan bahawa suara Sabah mesti bulat, mesti kental dan keperluan negeri perlu benar-benar didengar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa parti tidak boleh terlalu yakin atau leka dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita tidak boleh terlalu angkuh. Saya sudah pesan kepada rakan-rakan, kita mesti bekerja keras.

“Kemenangan mesti diperoleh dengan usaha, bukan diberi,” katanya.