Tiada parti mampu raih lebih 25 kerusi

SHAH ALAM - Teka-teki mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akhirnya terjawab apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkannya pada Isnin.

Pengumuman yang dibuat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) itu membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Ketika ini tumpuan pastinya terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penamaan calon, hari pengundian awal dan tarikh pengundian utama.

Menerusi 73 kerusi dipertandingkan dan seramai 1.786 juta pengundi termasuk 662,000 pengundi baharu, PRN17 kali ini bukan sekadar pertarungan kuasa tetapi bakal menentukan arah tuju pentadbiran Sabah dalam lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, PRN kali ini berbeza dengan sebelumnya apabila menyaksikan pergolakan dan perubahan mendadak landskap politik negeri Sabah.

Gabungan-gabungan utama seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Warisan kini berada dalam keadaan saling berasingan.

Bahkan baru-baru ini, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari kerajaan Sabah untuk bergerak solo, sekali gus memberi isyarat kepada perpecahan lebih besar dalam blok pemerintah.

**media[3300628]**

GRS kini kehilangan dua daripada lapan komponen asalnya dan tinggal hanya enam parti dalam gabungan tersebut.

Buat masa ini, gabungan parti politik sedia ada dalam GRS merangkumi enam parti lokal iaitu Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Melihat kepada situasi terkini politik di Sabah, kemungkinan tiada satu pun parti akan menang majoriti mudah 37 kerusi secara bersendirian sekali gus bakal menyaksikan wujud konfigurasi politik baharu pasca pilihan raya.

Apatah lagi setiap parti pernah terpalit dengan beberapa kontroversi misalnya parti GRS yang kini berdepan tekanan yang semakin meningkat.

Selain keretakan dalaman dan perpecahan komponen, gabungan itu juga terpalit dengan beberapa skandal politik termasuk isu pendedahan klip video terkait dakwaan rasuah beberapa pemimpin GRS yang sedang hangat diperkatakan.

Sementara itu, BN berhadapan krisis kepimpinan apabila masih belum menamakan calon Ketua Menteri, walaupun telah mengumumkan akan bertanding solo.

Warisan pula dilihat lebih tersusun dari sudut struktur dan kepimpinan, namun imej parti itu masih dibayangi isu-isu lama seperti dakwaan pemberian MyKad kepada warga asing dan pembatalan beberapa projek rakyat.

Fenomena ini turut memperlihatkan bagaimana naratif kempen harus diubah, calon dan parti yang bertanding perlu memahami sentimen setempat.

Kerajaan gabungan

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg turut menjangkakan tiada satu parti yang mampu meraih lebih daripada 25 kerusi dalam PRN17.

**media[3300626]**

Beliau berkata, keadaan ini akan membuka ruang kepada pembentukan semula kerajaan gabungan kerana untuk memerintah Sabah secara solo, sesebuah parti memerlukan sekurang- kurang 37 kerusi.

“Setakat ini saya melihat maksimum satu parti itu dapat 25 kerusi tapi tidak akan ada yang melebihi angka itu namun, ia tidak semestinya betul sebab terlalu awal. Contohnya, walaupun parti itu tidak disukai pengundi tapi kalau letak calon baik akan mengubah kemungkinan.

“Itu andaian berdasarkan keadaan sekarang, susah sesebuah parti mendapatkan 37 kerusi malah mungkin menghampiri angka 25 pun agak sukar. Jadi untuk bentuk kerajaan nanti adalah kerajaan gabungan pasca PRN,” jelasnya.

Beliau memberitahu, antara parti yang mungkin berpotensi bergabung menjadi kerajaan ialah Warisan, GRS dan BN.

Jelasnya, ini kerana setiap parti berkenaan mempunyai kekuatan masing-masing misalnya Warisan masih menguasai kawasan Pantai Timur Sabah.

“Manakala GRS mungkin mendapat kerusi tertentu, jadi itu akan menjadi sebahagian gabungan. Begitu juga BN Sabah, kita tidak boleh perkecilkan.

“Jadi saya ingat akan ada gabungan selain parti-parti besar ini, parti kecil boleh jadi sebahagian gabungan parti itu nanti,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, tindakan PH mengadakan kerjasama dengan GRS dan BN akan mengelirukan rakyat.

“Bagaimanapun saya harap ia tidak akan mendatangkan impak negatif,” ujarnya.

Ikrar parti

Sementara itu, Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone Kurum berkata, partinya optimis untuk kekal menjadi kerajaan selepas pilihan raya nanti berdasarkan pencapaian pentadbiran yang cekap.

**media[3300627]**

Beliau berkata, sebarang kewujudan konfigurasi politik baharu pasca pembubaran DUN susah untuk dijangka buat masa sekarang.

“Ini kerana fokus utama kita adalah beri tumpuan kerjasama yang sedia ada. Kestabilan politik memerlukan kerjasama dan kita sudah wujudkan platform itu namun, apabila ada orang ambil langkah selain keputusan bersama, itu di luar kawalan kita.

“Kita sudah berusaha menggabungkan semua parti tempatan, UMNO-BN Sabah ada peluang untuk tentukan masa depan Sabah tapi tinggalkan kita, Warisan pun ada peluang perbaiki kelemahan.

“BN ketika itu sudah masuk GRS tetapi keluar lagi. Tidak mahu jadi timbalan nak jadi ketua menteri, dia ingat bila pegang jawatan itu selesai masalah, tidak boleh retorik sangat,” ujarnya.

**media[3300625]**

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berkata, pembubaran DUN memang dinantikan seluruh rakyat Sabah.

“Kita akan tingkatkan kesiapsiagaan seluruh jentera di setiap kawasan yang bertanding. Saya yakin kali ini BN akan dapat tawan kembali Sabah,” katanya.