BN Sabah bukan tewas, tapi dikhianati — Bung Moktar

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak pernah tewas di peti undi akibat penolakan rakyat, sebaliknya tumbang disebabkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Menurut beliau, sejarah jelas membuktikan bahawa kejatuhan kerajaan BN ketika itu bukanlah kehendak rakyat, tetapi akibat pengkhianatan beberapa ADUN yang tidak mahu berdiri bersama kerajaan pusat BN yang menjadi pembangkang ketika itu.

“Tindakan mereka bukan sahaja menggugat kestabilan politik Sabah, malah mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih BN sebagai parti majoriti melalui proses demokrasi yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Bung Moktar, episod hitam itu perlu menjadi pengajaran besar kepada rakyat Sabah agar tidak membiarkan masa depan negeri terus dicatur oleh politik lompat parti.

“Politik moden bukan lagi soal siapa berkuasa, tetapi soal keabsahan dan kepercayaan. Apabila kerajaan bertukar bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana pengkhianatan mandat, maka yang runtuh bukan sahaja kerajaan, tetapi juga institusi, moral dan maruah politik negeri itu sendiri,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan keadaan semasa sebagai satu bentuk 'democratic fatigue', iaitu keletihan rakyat terhadap politik yang tidak berprinsip dan tidak konsisten.

“Setiap episod lompat parti bukan sekadar drama politik, tetapi mencederakan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin. Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan mampu menumbuhkan keyakinan. Tanpa keyakinan, tidak akan ada kestabilan yang mampu bertahan,” katanya.

Jelasnya lagi, kestabilan bukan lahir daripada slogan, sebaliknya berpunca daripada integriti kepimpinan dan kekuatan sistem yang kukuh.

“UMNO dan BN membawa dua elemen utama dalam pentadbiran moden iaitu konsistensi dasar dan kesinambungan institusi. Pembangunan tidak boleh dibina di atas kekacauan politik.

“Pelaburan memerlukan kestabilan, dasar memerlukan kesinambungan, dan rakyat memerlukan keyakinan,” tegasnya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk menghentikan “politik percubaan” dan menumpukan kepada kepimpinan yang berwawasan serta pentadbiran yang berpaksikan rasional dan keteguhan dasar.