PRN Sabah: GRS terbuka parti komponen pilih tanding solo - Hajiji

PITAS - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil sikap terbuka terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang memilih untuk meninggalkan gabungan itu untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS tidak pernah mendesak parti komponennya untuk kekal atau keluar daripada gabungan, namun sekiranya mereka ingin bertanding solo, keputusan itu terpulang kepada pertimbangan parti masing-masing.

Beliau yang juga Pengerusi GRS yakin dengan kekuatan gabungan itu berdasarkan kerjasama baik antara parti komponen serta sokongan padu rakyat terhadap GRS.

"Insya-ALLAH kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan Insya-ALLAH GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.

"Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini pada Sabtu.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menegaskan bahawa pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu menjadi bukti keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar SMJ.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil," ujarnya.

Sebelum ini, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada komponen GRS untuk bertanding secara solo menggunakan lambang parti masing-masing pada PRN kali ini.

Kedua-dua parti berkenaan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan.