KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memastikan wujudnya keserasian kepimpinan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan demi kelancaran pentadbiran serta pembangunan di negeri ini.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penyelarasan itu penting agar pentadbiran negeri tidak bergerak secara terpisah daripada kerajaan pusat.
“Kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu sehaluan. Tidak boleh hanya slogan ‘Sabah for Sabahan’ dijadikan retorik, tidak boleh cakap temberang.
“Kita semua perlu ada keserasian. Antara kerajaan negeri dan Persekutuan mesti ada kesefahaman yang jelas. Baru peruntukan boleh sampai, baru rundingan boleh berjalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMara 2025 di sini pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang berfikiran terbuka dan mengutamakan kerjasama antara negeri serta pusat, bukannya berpolitik dengan hanya mengangkat slogan semata-mata.
“Ini balik-balik ‘Sabah for Sabahan’, ‘lokal parti’, ‘kita jaga kita’ tapi video sana-sini keluar,” katanya.
Sehubungan itu, Pengerusi BN Sabah itu berkata, jentera terutama sayap Wanita perlu menjadikan BN sebagai wadah pilihan pengundi di seluruh Sabah dalam PRN kali ini.
“Kita perlu meletakkan UMNO dan BN sebagai wadah pilihan pengundi dan persiapan kita telahpun jelas. Tiga tahun saya dan rakan-rakan UMNO serta BN mempersiapkan jentera kita, alhamdulillah, nampak gaya tidak ada halangan.
“Jadi, persiapan rapi ini perlu kita susun dengan baik. Wanita tidak seharusnya bercanggah dengan sistem yang ada, sebaliknya kerjasama amat penting supaya kita dapat terus bergerak ke hadapan. Itu sahaja, kita tidak boleh berhenti di tengah-tengah,” katanya.