JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengangkat tiga usul utama dalam mesyuarat perwakilan bahagiannya termasuk cadangan berhubung pertandingan tiga penjuru, isu air serta pelantikan pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, usul pertama menyentuh soal kedudukan PH di Johor yang dicadangkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.
“Itu hasrat perwakilan dan akar umbi dari negeri ini. Walaupun kita boleh bahas dan cadangkan, keputusan muktamad tetap ditentukan oleh Majlis Presiden.
“Barisan Nasional (BN) juga khabarnya tidak selesa kalau tiada tiga penjuru. Kalau tiga penjuru, maknanya sama-sama bertempur, sama-sama turun padang,” katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen Amanah Johor di sebuah hotel pada Sabtu.
Pengerusi PH Johor itu turut menjelaskan usul kedua yang diketengahkan ialah isu bekalan air yang dilihat berpotensi menjejaskan pembangunan negeri sekiranya gagal ditangani sebelum 2030.
“Air adalah asas keperluan rakyat. Kalau masalah ini tidak selesai, kami bimbang pembangunan negeri akan tergendala, terutama berkaitan pelaburan pusat data (data centre) yang semakin bertapak di Johor.
“Kita juga harap kerajaan negeri lebih tegas dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelakkan pencemaran sumber air,” jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Sri Gading itu, usul ketiga pula membabitkan cadangan Amanah Johor berhubung pelantikan seorang pengarah pilihan raya PH negeri bagi memastikan urusan jentera, rundingan kerusi dan kerjasama dengan BN dapat diurus secara lebih sistematik.
“Kita lihat di Sabah, walaupun Perdana Menteri mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama, tetapi BN menolak. Itu memberi gambaran pentingnya ada jawatankuasa atau pengarah pilihan raya di peringkat negeri untuk menyelaras strategi dengan pusat.
“Kita akan hantar surat untuk adakan perjumpaan rasmi antara Pengerusi PH dan Pengerusi BN di peringkat negeri,” katanya.
Pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) melalui DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi dengan Bersatu dua kerusi dan Pas satu, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut memenangi satu kerusi.