PONTIAN – UMNO yakin tidak berdepan masalah mencari calon sesuai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu memiliki ramai tokoh berkelayakan dan diterima masyarakat setempat untuk diketengahkan.
“Kita tidak kekurangan calon. Yang penting, jentera pilihan raya hendaklah berpadu menerima siapa sahaja calon yang ditampilkan. Jentera dan calon adalah syarat penting untuk kemenangan.
"Calon yang ditampilkan perlu memiliki ciri-ciri 'wali', iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), anak tempatan dan diterima rakyat. Saya yakin UMNO akan menjadi magnet dalam pilihan raya ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas menyaksikan tayangan skrin perlawanan bola sepak Liga Super antara pasukan JDT dan Sabah di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi pada malam Ahad.
Tambah Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pemilihan calon akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan 26 Ketua UMNO Bahagian di Sabah boleh menyenaraikan calon masing-masing.
“Tentunya calon-calon yang akan dipilih merupakan anak tempatan yang berupaya memenangi kerusi yang akan ditandingi kelak.
“Belum ada keputusan muktamad mengenai kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO kerana DUN Sabah belum lagi dibubarkan. Kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat kelak.
“Namun, jentera pilihan raya di Sabah sudah boleh merangka gerak kerja masing-masing bagi memastikan segala persiapan telah diatur dan berjalan lancar menjelang hari penamaan calon,” jelasnya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu mesti dilakukan kerana tempoh penggal DUN akan berakhir pada November ini.
Menurut Hajiji, pengumuman rasmi berhubung pembubaran DUN akan dibuat tidak lama lagi dan beliau meminta semua pihak bersabar.