PRN Sabah: DUN akan dibubar sebelum tamat penggal November - Hajiji

PENAMPANG-Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu mesti dilakukan kerana tempoh penggal DUN akan berakhir pada November ini.

“Itu Jabatan Kaji Cuaca yang ramal hujan, tetapi soal pembubaran kita yang tentukan. Kita tidak ada pilihan sebab tempoh DUN terbubar sendiri bulan November, jadi mesti kita adakan sebelum itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini pada Ahad.

Menurut Hajiji, pengumuman rasmi berhubung pembubaran DUN akan dibuat tidak lama lagi dan beliau meminta semua pihak bersabar.

“Memang tidak lama lagi. Sabarlah, tunggu. Kalau cuaca ini terang, kita bubarlah. Cuaca baik nanti,” katanya sambil berseloroh kepada pemberita.

Ditanya sama ada DUN mungkin dibubarkan seawal Oktober ini, Hajiji hanya menjawab ringkas dengan meminta sokongan kepada kerajaan yang dipimpinnya ketika ini.

Untuk rekod, DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjawab soalan mengenai cadangan dasar subsidi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar di Sabah.

“Kita sekarang sedang buat kajian untuk membantu mereka yang masih berhutang dengan PTPTN. Mengikut laporan awal, lebih 100,000 orang terlibat. Jadi kita sedang teliti berapa peruntukan diperlukan untuk meringankan bebanan hutang mereka. Keputusan akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet nanti,” katanya.

Mengulas sama ada bantuan itu akan dilaksanakan sebelum PRN, beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha mempercepatkan proses tersebut.

“Kalau boleh secepat mungkin, lagi bagus. Ini bukan gula-gula pilihan raya. Kita bercakap soal membantu rakyat, tetapi mesti ikut aturan yang perlu dilakukan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang dimiliki Yayasan Sabah.

“Kerajaan negeri mempunyai sebuah universiti di bawah Yayasan Sabah, iaitu Kolej Universiti Yayasan Sabah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah. Kita fikirkan untuk memberikan pendidikan percuma kepada penuntut di sana, termasuk yuran yang akan ditanggung kerajaan negeri,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah pelajar yang bakal menerima manfaat tersebut, Hajiji berkata ia melibatkan semua penuntut di kedua-dua institusi tanpa sebarang pengecualian.

“Berapa ramai pelajar yang ada, itulah yang kita bantu. Kita tidak boleh pilih-pilih,” katanya sambil menambah inisiatif itu berkemungkinan dapat dilaksanakan seawal pengambilan baharu tahun ini.