SEREMBAN - DAP menegaskan sekiranya Pakatan Harapan (PH) meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), parti itu mahu kekal bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian itu selari dengan prinsip yang dipersetujui dalam kalangan parti.
“Kalau kita bekerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, maka kita tidak boleh bertembung antara satu sama lain. Maksudnya, kita perlu ada pembahagian kerusi yang jelas.
“Jadi pembahagian kerusi ini mesti ada prinsipnya iaitu mana-mana kerusi yang telah pun dimenangi oleh parti tersebut perlu dikekalkan oleh parti tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, bagi kerusi yang dimenangi pembangkang, ia tertakluk kepada hasil rundingan pimpinan parti.
Tambahnya, DAP juga bersedia meneruskan kerjasama tersebut di bawah Kerajaan Perpaduan dan berusaha memberikan yang terbaik, namun terpulang kepada BN.
“Di Negeri Sembilan ini jelas, kita menang di semua 11 kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi.
“Jadi, kita pun tidak minta lebih, umpamanya DUN Labu sekarang ini ialah Perikatan Nasional (PN), tetapi kita tidak minta kerana itu kerusi yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan dakwaan DAP menjadi punca keretakan hubungan BN dengan MCA, Anthony Loke secara sinis berkata, jangan menyalahkan orang lain disebabkan masalah dalam rumah tangga sendiri.
“Saya tidak mahu campur, itu masalah antara mereka. Jangan kalau ada masalah, salahkan orang lain,” katanya.