ALOR SETAR - Pas membantah langkah kerajaan yang berterusan menaikkan cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai ke atas barangan tertentu dan cukai pendapatan individu dalam keadaan rakyat sedang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Pembentang usul, Azhar Mohamad Ali dari Pas kawasan Batu berkata, berikutan itu Muktamar mendesak kerajaan supaya segera mengkaji semula dasar percukaian negara dan menghentikan sebarang bentuk kenaikan cukai yang tidak mengambil kira kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, Pas turut mencadangkan beberapa langkah antaranya meminta kerajaan melaksanakan penyelesaian alternatif lebih adil dan berkesan bagi menangani kos sara hidup yang semakin menghimpit.
“Antara yang boleh dilakukan kerajaan adalah dengan melaksanakan cukai progresif dengan menaikkan kadar cukai hanya kepada golongan berpendapatan tinggi (T20), bukannya kepada semua lapisan rakyat.
“Kerajaan juga disyorkan untuk mengecualikan atau menurunkan cukai ke atas barangan asas dan keperluan utama seperti makanan, ubat-ubatan, pendidikan dan pengangkutan awam agar rakyat berpendapatan rendah tidak terus terhimpit,” katanya ketika membentangkan usul ekonomi dan kos sara hidup pada Muktamar Tahunan Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di sini pada Selasa.
Usul berkenaan diluluskan dan mendapat sokongan sebulat suara daripada perwakilan.
Azhar berkata, langkah lain termasuk memperketatkan penguatkuasaan dan audit cukai ke atas golongan kaya dan syarikat besar yang sering mengelak cukai supaya hasil negara tidak bergantung kepada pungutan daripada rakyat basa.
“Cadangan lain termasuk memperkenalkan cukai kekayaan ke atas pemilikan aset mewah, hartanah kedua dan ketlga serta harta pusaka bernilai tinggj, demi keadilan dan keseimbangan sosial.
“Langkah lain termasuk memberikan rebat cukai bersasar kepada golongan rentan seperti ibu bapa, peniaga, pesakit, pelajar serta isi rumah berpendapatan rendah bagi meringankan beban kewangan mereka secara langsung,” ujarnya.
Muktamar turut mengingatkan kerajaan bahawa Pas dan rakyat tidak akan berdiam diri terhadap sebarang dasar percukaian yang menindas jika kerajaan terus berdegil menaikkan cukai tanpa peduli derita rakyat.
“Pas akan menggerakkan kesedaran dan mobilisasi rakyat di seluruh negara untuk menolak dasar zalim ini dengan suara lebih lantang,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tersebut dianggap zalim dan membelakangi prinsip keadilan sosial, menindas golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah pun terhimpit dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada langkah penjimatan perbelanjaan, menutup ruang ketirisan serta membanteras rasuah yang menjadi punca utama kebocoran hasil negara sebelum mengambil jalan mudah dengan terus membebankan rakyat,” katanya.