Majlis Syura Ulama, Pas Pusat tentukan calon, strategi PRU16

ALOR SETAR – Majlis Syura Ulama bersama Pas Pusat diberi tanggungjawab penuh dalam menentukan kerusi dan calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-duanya juga bertanggungjawab pada hukum, dasar dan strategi pada pilihan raya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan Islam terus menjadi teras kepimpinan negara dalam apa jua keadaan, sama ada sebelum mahupun selepas menghadapi pilihan raya.

“Majlis Syura Ulama menghimpunkan para ilmuwan daripada pelbagai bidang seperti al-Quran, hadis dan fiqh. Mereka akan bermusyawarah dan berijtihad sebelum membuat sebarang keputusan.

"Segala yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah akan dibatalkan,” katanya dalam ucapan dasar pada Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Isnin.

Abdul Hadi turut menekankan bahawa adab pejuang Islam menuntut ketaatan dan kesetiaan kepada ALLAH dan rasul, serta kepada pemimpin yang patuh kepada syariat.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru agar sayap Pemuda dan Muslimat memainkan peranan lebih agresif dalam mendekati golongan muda dan wanita menjelang PRU16.

“Pemuda dan Muslimat mesti menggerakkan program yang dekat dengan jiwa anak muda dan wanita, merentasi batas politik dan kaum.

"Medan pertemuan perlu dipelbagaikan agar kelompok penting ini dapat didekatkan dengan perjuangan Islam,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa generasi muda kini semakin pantas berubah, dan Pas perlu berada di hadapan dalam membimbing mereka agar tidak terpinggir daripada arus perjuangan Islam.

Abdul Hadi turut menggesa agar lebih ramai tokoh muda ditonjolkan sebagai suara rakyat dan ikon kepada generasi baharu, khususnya dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat yang mampu mempengaruhi pemikiran umum.

“Inilah gelanggang sebenar yang akan menentukan kemenangan Pas dalam PRU16,” katanya.