Pas sedia ambil alih kepimpinan PN, fokus perkukuh muafakat politik - Ahmad Samsuri

HULU TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan sudah tiba masanya Pas mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) melalui semangat muafakat politik.

Menurutnya, usaha memperkukuh kerjasama dalam PN dan memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi keutamaan sekali gus membuka ruang parti itu mengetuai blok pembangkang.

“Sudah sampai masa dan ketikanya untuk Pas berbincang dengan rakan muafakat politik bagi mengambil alih mengetuai kerusi ini secara muafakat politik.

“Apa yang penting sekarang ialah usaha memperkukuh muafakat politik dan memenangi pilihan raya. Isu siapa menjadi Perdana Menteri wajar diperbincangkan secara bersama dalam kerangka PN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Walimatul Urus Perdana di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, pada Sabtu.

**media[3272091]**

Menurut Ahmad Samsuri, pandangan pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada Ahad, sebelum dibawa ke Muktamar Tahunan Pas Pusat yang bermula Isnin ini.

Mengulas mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu, beliau menegaskan Pas tidak menafikan hak setiap parti komponen untuk membuat keputusan.

“Itu hak Bersatu untuk mencalonkan sesiapa sahaja. Tetapi saya rasa perkara lepas sudah berlalu. Apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kita memperkukuh muafakat politik bersama rakan-rakan strategik untuk mencapai kemenangan PRU16,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata,, muktamar kali ini amat signifikan kerana diadakan hampir dengan PRU16.

Justeru, katanya, perbahasan dijangka menumpukan aspek pengukuhan parti, isu ekonomi, keharmonian kaum dan hala tuju Pas sebagai parti nasional yang berkaliber.

“Kita tidak mahu bergerak bersendirian. Kita percaya kemenangan hanya boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang sekiranya muafakat politik diperkukuh dan kerjasama dipererat di seluruh negara,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, ditanya sama ada MCA akan menjadi sebahagian daripada muafakat politik PN, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi berhubung perkara itu.

“Itu hak parti masing-masing yang wajar diuruskan oleh mereka,” katanya ringkas.

Pada Jumaat, Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat meluluskan usul mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.

Usul berkenaan dibentangkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar pada sesi perbahasan usul dan mendapat sokongan sebulat suara daripada lebih 750 perwakilan yang hadir.

Khairul Nadzir berkata, Pas memiliki signifikasi politik nasional yang tidak boleh dinafikan dan layak tampil sebagai peneraju PN, selain pencapaian politik serta senioriti Pas sebagai parti tertua dan berpengalaman dalam politik negara.

Sebelum itu, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 7 September lalu meluluskan usul menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.