HULU TERENGGANU - Persoalan mengenai siapa calon Perdana Menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) bukan isu besar kerana ia akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid.
Beliau berkata, fokus utama PN ketika ini ialah menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menunaikan janji serta mengurus kebajikan rakyat.
"Secara protokolnya, perkara ini akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PN. Namun bagi saya, fokus utama ialah Anwar perlu dijatuhkan dahulu kerana rakyat kini berdepan masalah kewangan dan kos sara hidup yang semakin menekan.
"Perdana Menteri pernah berjanji harga minyak turun pada September, tetapi kini sudah hujung bulan masih belum ditunaikan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Walimatulurus Perdana di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Terengganu menegaskan isu calon Perdana Menteri tidak pernah menjadi konflik besar kerana sejarah politik negara menunjukkan lebih daripada seorang nama sering dikaitkan setiap kali berlaku peralihan kuasa.
"Perkara ini bukan masalah besar dalam PN kerana kita boleh duduk dan berbincang untuk capai kesepakatan.
"Bagi saya, jawatan Perdana Menteri ini nombor dua. Keutamaan sekarang ialah masalah rakyat.
"Kos sara hidup makin tinggi, kadar sewa meningkat, malah ada rakyat kereta mereka ditarik akibat beban hutang. Sebab itu Bersatu tekankan soal bela rakyat dahulu, bukan sibuk siapa jadi PM," ujarnya.
Terdahulu, Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat pada Jumaat meluluskan usul mendesak Pas mempersiapkan parti memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
Sementara itu, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 7 September lalu turut meluluskan usul menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti berkenaan.