Pas jangkakan lebih ramai ahli UMNO sokong PN

YAN – Pas menjangkakan lebih ramai rakan daripada UMNO yang tidak selesa dengan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan DAP berkemungkinan besar akan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan bahawa semakin ramai tokoh dan ahli UMNO kini cenderung menyokong perjuangan Pas serta PN.

Menurutnya, perkembangan itu turut disumbangkan oleh beberapa keputusan dalam pentadbiran khususnya yang berkaitan dengan tindakan DAP.

"Sebenarnya ramai kawan-kawan kita yang bersama Pas, antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Mutalib. Ini antara tokoh.

"Ramai juga ahli UMNO yang menyokong kita dalam PRU lalu. Hubungan Pas dengan UMNO ketika kita membentuk kerajaan bersama memberi ruang kepada mereka untuk mengenali Pas dengan lebih dekat. Pada waktu itu wujud keharmonian dan kestabilan hingga ke peringkat cawangan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen As-Sabiqun Pas Pusat di Guar Chempedak, pada Sabtu.

Tuan Ibrahim menegaskan, pengalaman ketika membentuk kerajaan bersama UMNO sebelum ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk lebih mengenali antara satu sama lain hingga ke peringkat akar umbi.

“Faktor itu memberi kesan besar kepada sokongan rakyat dalam pilihan raya umum lalu apabila ramai ahli UMNO akhirnya memilih untuk mengundi PN,” katanya.

Mengulas peluang Pas dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Tuan Ibrahim berkata, kekuatan gabungan itu terletak pada muafakat yang dipersetujui bersama.

"Di tempat Pas lemah, rakan PN akan bantu. Di tempat rakan PN lemah, kita pula bantu. Walaupun Pas ada dua negeri yang menggunakan logo sendiri, iaitu di Kelantan dan Terengganu, gelombang yang tercetus bersama PN membolehkan kita hampir menyapu bersih kerusi di kedua-dua negeri,” katanya.

Tambah beliau, strategi bersama itu akan terus diperhalusi, termasuk melalui jawatankuasa induk PRN Sabah yang dibentuk bagi membincangkan manifesto, agihan kerusi, pendekatan serta pelancaran jentera pilihan raya.

“Pas sudah lama turun padang di Sabah, bukan hanya turun pada musim pilihan raya.

"Kita turun lebih awal, rakyat kenal kita waktu mereka susah. Kita ziarah orang sakit, bantu yang memerlukan, itu kerja lama yang kita buat di Sabah. Kita yakin rakyat boleh menilai,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, ukuran sebenar calon bukan sekadar rajin bersalaman ketika kempen, tetapi sejauh mana mereka bersama rakyat sejak awal.

"Bagi saya, yang penting bukan siapa datang bersalam tujuh kali sehari, tetapi turun padang sejak awal. Itu yang rakyat harus lihat. Dengan gerak kerja sebegini, kita yakin calon Pas dan PN akan dipilih di Sabah nanti," katanya.