Hajiji umum bubar DUN Sabah 19 September?

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dikatakan akan membuat pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 September ini.

Andaian tersebut timbul berdasarkan khabar angin yang didengar Presiden Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), Datuk Jismit Japong.

“Saya difahamkan Ketua Menteri akan membuat pengumuman pada 19 September jam 4 petang. Sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GAS di sini, pada Ahad.

Ditanya lanjut bagaimana beliau mengetahui mengenai tarikh berkenaan, Jismit memaklumkan perkara itu sudah tersebar dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Di kedai-kedai kopi pun ramai orang bercakap. Mereka beritahu saya Ketua Menteri akan buat pengumuman pada 19 haribulan, jam 4 petang. Jam 2, mereka kata Ketua Menteri akan menghadap TYT.

“Mungkin ada logiknya juga, beliau (Hajiji) menghadap jam 2, selepas itu berbincang, dan jika Tun setuju untuk dibubar, jam 4 beliau umumkan. Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Sementara itu, Jismit memaklumkan GAS akan melancarkan partinya pada 21 September di Beaufort.

“Pelancaran dijangka dihadiri antara 300 hingga 500 orang dan kita juga akan mengumumkan manifesto parti pada majlis sama.

“Dijangka tidak kurang daripada 10 manifesto yang akan diumumkan, selain kita kekal umumkan 55 calon kerusi DUN dari GAS.

“Selepas itu, pelancaran parti turut akan dibuat di kawasan Pantai Timur namun tarikh belum ditentukan lagi,” katanya.