Timbalan MB Kelantan belum buat keputusan tanding jawatan AJK Pas Pusat

MACHANG - Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak selepas namanya dicalonkan sebagai ahli jawatan kuasa (AJK) Pas Pusat pada Muktamar Pas Kali Ke-71 di Kedah bulan depan.

"Esok tarikh akhir, jadi saya kena banyak fikir dengan tugas di Kelantan (mentadbir negeri) lagi.

"Esok baru saya jawab sama ada bertanding atau sebaliknya," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Banggol Kemian, Paloh Rawa di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu, pada malam Jumaat beliau akan mengadakan solat istikharah untuk memohon petunjuk sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini Mohamed Fadzli antara nama pemimpin Pas Kelantan yang berada dalam senarai layak untuk bertanding jawatan AJK Pas Pusat.

Selain beliau, Menteri Besar Datuk Mohd Nassaruddin Daud turut berada dalam senarai untuk jawatan tersebut.