JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan sudah tiba masanya UMNO negeri itu menyatakan pendirian jelas sama ada mahu terus bersama Pakatan Harapan (PH) atau memilih bergerak ke arah pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Pengerusinya, Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat beberapa kawasan yang telah mengemukakan usul supaya pertandingan tiga penjuru dipertimbangkan, sekali gus mencerminkan keresahan akar umbi berhubung kedudukan politik semasa.
Menurutnya, pendirian rasmi UMNO Johor amat penting bagi membolehkan perbincangan lebih tuntas mengenai hala tuju politik gabungan di negeri ini.
“Ketidaktentuan hanya akan melemahkan kekuatan bersama, sekali gus memberi ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan.
“Amanah Johor juga menyeru agar seluruh kepimpinan PH negeri bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Zuhan mengingatkan UMNO agar tidak mengamalkan sikap berdalih dengan mengeluarkan kenyataan berbeza antara pucuk pimpinan dan bahagian.
“Sikap sebegini hanya menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat dan rakan gabungan. Kejujuran dalam pendirian adalah asas membina keyakinan serta kekuatan bersama.
“Persiapan rapi, penyelarasan jentera dan keutuhan semangat gabungan perlu digerakkan tanpa lengah,” katanya.