PASIR GUDANG – Pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, Allahyarham yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah negeri merupakan pemimpin berkarisma serta komited membela masyarakat sepanjang hayatnya.
“Allahyarham adalah seorang yang sangat berwawasan, bukan sahaja pemimpin tetapi juga seorang sahabat. Kehilangan beliau amat dirasai oleh semua warga Amanah,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mumainah pada Selasa.
Menurut beliau, Amanah sebelum ini merancang untuk menjadikan Allahyarham sebagai calon pada pilihan raya akan datang dan sedang meneliti kawasan sesuai untuk ditandinginya.
"Che Zakaria dilaporkan terjatuh di bilik pada Sabtu lalu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan perlu dibedah tetapi difahamkan pihak hospital tidak berbuat demikian kerana terlalu berisiko," katanya.
Lebih 400 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumian tersebut.
Allahyarham sebelum ini pernah bertanding kerusi Parlimen Pengerang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 namun tewas kepada Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pula, beliau mengejutkan banyak pihak apabila berjaya menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas ADUN Bersatu itu mengumumkan menyertai Amanah pada Julai 2022.