SHAH ALAM - Kumpulan empat kerajaan negeri dibawah Perikatan Nasional (SG4) menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kerana dibimbangi memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Pejabat Sekretariat SG4 dalam satu kenyataan memaklumkan, negeri-negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis secara bersama dengan tegas menolak RUU tersebut yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen pada Selasa.
Menurutnya, RUU itu jika diluluskan, akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen termasuk dari blok kerajaan mendesak supaya bacaan kedua dan ketiga RUU PSB di Dewan Rakyat pada Rabu ditangguhkan sehingga semua isu dan kebimbangan berkaitannya ditangani secara menyeluruh.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad misalnya, menggesa agar kerajaan tidak tergesa-gesa membentangkan RUU itu dan memperhalusi perkara tersebut dengan bijaksana dan inklusif.
Tambah SG4, pelaksanaan RUU PSB juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar, terutama kaum Melayu dan bumiputera.
Jelasnya, tambahan pula RUU itu tidak memperincikan mekanisme pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar-bandar.
“Negeri-negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan RUU PSB akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar, sekali gus menjejaskan keharmonian negara,” katanya.