Sayang saya pada agama, bangsa dan tanah air tiada nilainya - Akmal Saleh

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan kasih sayangnya terhadap agama, bangsa dan tanah air tidak ternilai harganya.

Justeru katanya, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut tentang apa yang diperkatakan.

“Jika itulah yang dianggap dan diperkatakan akhirnya, saya tiada apa-apa yang mampu diperkatakan lagi. Terima kasih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Bagaimanapun Muhamad Akmal tidak memperincikan hantaran dibuat beliau, namun ia dipercayai ada kaitan dengan teguran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertelagahan antara beliau dan pemimpin Pemuda DAP.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan sebarang isu membabitkan pemimpin parti perlu ditangani dengan bijaksana tanpa mencampuradukkan tindakan perundangan dengan keputusan politik.

Beliau berkata, sekiranya sesuatu perkara jelas melanggar undang-undang, tindakan sewajarnya harus diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala urusan politik perlu diselesaikan melalui saluran parti.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyebut nama Muhamad Akmal atau pemimpin Pemuda DAP secara khusus, namun mengingatkan bahawa kepimpinan parti telah membuat keputusan dan semua pihak perlu mematuhinya bagi menjaga keharmonian dalam kerajaan.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang yang mahu kepimpinan parti memutuskan hubungan politik dengan Muhamad Akmal selepas tindakannya menganjurkan protes berhubung isu Jalur Gemilang dipasang terbalik yang didakwa bersifat provokatif.

Pada Khamis lalu, Muhamad Akmal mengetuai Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku yang dihadiri kira-kira 500 ahli UMNO, Pas dan Bersatu di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.