PRN Sabah: Hajiji yakin GRS mampu tawan tiga DUN bawah Parlimen Putatan

PUTATAN-Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Putatan menjadi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penyandang DUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya mampu mengekalkan kerusi yang kini disandangnya di bawah Barisan Nasional (BN).

“Kita beruntung di Putatan ini, kamu ada satu Timbalan Ketua Menteri dari Putatan, kamu ada wakil rakyat yang aktif membantu rakyat.

“Insya-ALLAH dalam pilihan raya kali ini, GRS akan ambil alih ketiga-tiga (DUN). Yang penting, perpaduan antara kita orang Putatan; Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru mesti bersatu hati. Pastikan kerajaan yang baik ini untuk rakyat, kita menangkan di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan Program Anak Muda DUN Tanjung Keramat, Petagas dan Tanjung Aru 2025 di Dewan Sri Putatan di sini pada Ahad.

Ditanya pemberita mengenai kedudukan Shahelmey yang dijangka berdepan laluan sukar, beliau menegaskan keyakinannya terhadap kemenangan penyandang itu.

“(Shahelmey) apa yang sukar, tetap menang punya. Dia lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dia lagi Ahli Parlimen, menang punya. Biar dia ikut kami," katanya.

Untuk rekod, dua lagi DUN iaitu DUN Petagas dan Tanjung Aru milik parti Warisan namun penyandangnya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari keluar daripada parti itu dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Bagi DUN Tanjung Keramat pula, Shahelmey berdepan risiko mengosongkan kerusi Parlimen Putatan susulan peruntukan Akta Anti Lompat Parti yang melarang ahli Parlimen bertukar parti selepas dipilih melalui tiket parti tertentu.

Sementara itu Hajiji berkata, penganjuran aktiviti melibatkan generasi muda amat penting bagi memastikan keperluan mereka terus diberi perhatian.

"Ini satu program yang paling bermakna bagi kita kerana kepentingan anak muda di Sabah ini kita perlu santuni, kita perlu faham keperluan mereka.

"Bayangkan tadi di padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) lebih 50,000 anak muda yang bermotor mengambil bahagian, maknanya kalau ada program begini yang boleh merapatkan silaturahim dan pada masa sama mengisi aktiviti mereka, mereka senang hati," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan juga prihatin terhadap kesejahteraan golongan itu termasuk dalam aspek pekerjaan dan simpanan masa depan.

"Kita bagi bantuan macam tadi, saya akan bagi bantuan untuk e-hailing, kita beri setiap seorang RM50 untuk lebih 11,000 orang untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini pun mereka sudah senang hati, mereka tidak minta banyak, tapi untuk buat akaun mencarum di KWSP.

"Sambung lagi petang ini satu program yang baik juga, ramai anak muda yang datang, jadi kita perlu santuni mereka, sokong program mereka," jelasnya.