SEREMBAN - Sayap Pemuda DAP (DAPSY) menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang Khamis lalu.
Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng berkata, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 bersama Naib Pengerusi DAPSY Negeri Sembilan, G Annun Nancy berhubung insiden itu.
Menurutnya, tindakan Dr Akmal itu tidak wajar dan jelas mencabar undang-undang selepas tetap meneruskan himpunan itu walaupun telah diberi amaran oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang.
"Malaysia adalah negara yang mengutamakan kedaulatan undang-undang dan tiada siapa yang berada di atas undang-undang.
"DAP mematuhi arahan dan memilih untuk mengedarkan bendera lebih awal bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang tetapi Akmal tetap meneruskan perhimpunan walaupun telah diberi amaran polis,” katanya di IPD Seremban 2 pada Jumaat.
Chun Weng berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut bukan sahaja menjejaskan premis perniagaan terbabit malah menyebabkan kegusaran dalam kalangan peniaga sekitar.
Tambah beliau, tindakan itu juga boleh diklasifikasikan sebagai buli dan ugutan terhadap peniaga, walaupun pemilik kedai telah memohon maaf dan siasatan masih dijalankan.
“Kami percaya perbuatan itu telah melanggar peraturan seperti Seksyen 503 (menakutkan secara jenayah), 504 (mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), dan 505 (kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam).
“Kami harap tindakan serius diambil terhadap Akmal kerana sebagai seorang penggubal undang-undang, beliau sepatutnya lebih memahami dan menghormati undang-undang,” tegasnya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini meminta DAPSY seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal di atas tindakannya itu
Ujarnya, DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Akmal mengetuai perarakan dan demonstrasi itu walaupun amaran polis untuk tidak berbuat demikian.
Pada Khamis, kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu dilaporkan mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Kumpulan yang diketuai Dr Muhamad Akmal itu berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sebelum berarak sehingga ke Jalan Bertam Perdana.
DAPSY WP KL kecam politik ugutan Akmal Salleh
KUALA LUMPUR - Sayap Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengecam tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh yang didakwa mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah premis di Kepala Batas Pulau Pinang pada Khamis lalu.
Menerusi kenyataan DAPSY WP KL memaklumkan, wakil daripada lima Parlimen iaitu Bukit Bintang, Segambut, Kepong, Seputeh dan Cheras hadir ke balai polis bagi membuat laporan terhadap tindakan yang disifatkan sebagai politik ugutan, buli ekstremis dan pencabulan kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu memberitahu, perarakan itu tetap diadakan walaupun Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang telah memberi amaran tentang perarakan berkenaan.
"Tindakan ini satu bentuk pencerobohan terhadap kedaulatan undang-undang serta norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, kenyataan itu mendakwa, laporan polis dibuat terhadap Muhamad Akmal mengikut Seksyen 503, 504 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 507B dan 507C kerana menakutkan secara jenayah, sengaja mengaibkan, mengeluarkan kenyataan berunsur khianat awam dan menyebabkan gangguan serra keresahan kepada mangsa.
DAPSY WP KL turut mendakwa tindakan Muhamad Akmal bercanggah dengan semangat patriotisme kerana bersikap berbeza terhadap kesalahan serupa melibatkan Pemuda UMNO Terengganu sekali gus boleh menjejaskan keharmonian rakyat.
“Kami menyeru pihak polis bertindak segera dan tegas supaya budaya melampau seperti ini tidak menjadi barah dalam usaha kerajaan perpaduan memupuk kestabilan, keharmonian dan perpaduan negara,” tambah kenyataan itu.