'Langkah Ampang' untuk Tengku Zafrul?

SHAH ALAM – Spekulasi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikaitkan dengan langkah strategik untuk bertanding di Ampang masih hangat diperkatakan.

Ia susulan pengesahan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengenai permohonan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah diterima dua minggu lalu.

Justeru, timbul desas-desus kononnya bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu akan diberi laluan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengekalkan beliau sebagai menteri.

Pemerhati politik, Dr G Manimaran berpandangan, langkah tersebut dilihat sebagai peluang terakhir untuk mengekalkan Tengku Zafrul dalam barisan Kabinet selepas tempoh Senatornya tamat hujung tahun ini.

**media[3234578]**

Beliau berkata, kini perjalanan politik ahli baharu PKR Ampang itu bergantung kepada keputusan barisan kepimpinan parti yang diketuai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memandangkan Selangor memerlukan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) kekal, maka Tengku Zafrul juga diperlukan di peringkat Pusat.

“PKR perlu beri laluan untuk beliau bertanding di kerusi sedia ada dan jika (kerusi) Parlimen, hanya berbaki kira-kira empat bulan lebih sedikit untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Sekiranya mahu diberikan kerusi DUN, tempohnya sehingga Oktober tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, penyandang Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang sebelumnya menyertai kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu awal tahun ini mungkin digugurkan atau dipindah ke kawasan lain.

Rentetan itu Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menjelaskan buat masa ini masih terlalu awal untuk cabang berkenaan membuat sebarang keputusan mengenainya selain menyerahkan penentuan calon Ahli Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

Dalam pada itu Manimaran berpendapat, kerusi Ampang menjadi sasaran kerana dianggap ‘paling selamat’ untuk Tengku Zafrul dengan senario mirip ‘Langkah PD’ pada 2018 dan Permatang Pauh (2008) apabila dua kerusi itu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

“Jika (PRK) ini berlaku, pengisian dua kerusi Kabinet mungkin ditangguhkan hingga PRK ‘Langkah Ampang’ selesai dan diselesaikan.

“Sekiranya Anwar mahu mengekalkan Tengku Zafrul sebagai menteri Kabinet, Perdana Menteri tiada pilihan (kecuali) Ampang dikosongkan untuk memberi laluan.

“Ketika ini percaturan antara kebijakan dan keperluan mendesak untuk kekalkan Tengku Zafrul sebagai menteri,” ujarnya.