KOTA KINABALU – Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, kuasa mutlak menentukan kelayakan seorang pemimpin untuk terus mentadbir negeri terletak di tangan rakyat.
Menurutnya, tuduhan politik seperti melabelkan seseorang sebagai pengkhianat tidak seharusnya dijadikan ukuran, kerana beliau tidak pernah berniat mengkhianati rakyat Sabah.
“Saya tidak tahu apa erti pengkhianat. Apapun pengkhianatan yang dikatakan atau dituduh, saya tidak akan mengkhianati rakyat negeri Sabah. Kalau kita faham aspirasi rakyat Sabah, kita akan menjadikan hak dan tuntutan mereka sebagai teras perjuangan politik kita.
“Bagi saya, tuduhlah apa yang patut. Tapi akhirnya, rakyat yang menentukan sama ada kita pengkhianat atau sebaliknya, rakyat yang akan menentukan sama ada kita layak terus mentadbir Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas dakwaan gabungan itu telah mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keluar daripada PN untuk membentuk kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Masidi turut menyentuh soal perjuangan politik di Sabah dengan menjadikan lirik lagu rasmi negeri, Sabah Tanah Airku, sebagai panduan dan semangat perjuangan yang perlu dihayati oleh setiap rakyat.
“Saya ingin bertanya, apa sebenarnya perjuangan dan matlamat kita dalam politik ini? Semua kata untuk rakyat. Tapi sebenarnya, mudah sahaja kita fahami makna perjuangan kita jika kita hayati lirik lagu Sabah Tanah Airku.
“Kalau kita baca dan fahami, lirik lagu itu cukup jelas – Sabah Tanah Airku, negeri kita yang tercinta... Marilah bersama serta maju jaya... Bersatu segala bangsa sentosa... Sabah negeri merdeka. Setiap bait-bait ini adalah asas perjuangan setiap rakyat Sabah,” katanya.
Masidi yang juga Setiausaha Agung GRS turut membidas pihak tertentu yang memperlekehkan slogan Sabah Maju Jaya yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
“Dalam lagu itu ada disebut marilah bersama serta maju jaya, ini bermakna kita diajak bekerja keras agar negeri kita maju. Apa bentuk kerja yang kita perlu lakukan untuk memastikan kemajuan negeri? Itulah maksudnya – usaha membawa pelaburan, memperkasa ekonomi dan membina masa depan negeri.
“Jadi apabila ada pihak memperlekehkan Sabah Maju Jaya, sebenarnya mereka mempertikai negerinya sendiri, bahkan mempertikaikan lagu kebangsaan negeri sendiri.
“Sebenarnya, Sabah Maju Jaya bukan ciptaan GRS, tetapi warisan sejarah negeri ini yang perlu kita junjung sebagai teras perjuangan dan pembangunan bersama,” katanya.