'Bawa usul undi tidak percaya terhadap PM di Parlimen, 'bola' di kaki pembangkang' - Saifuddin

ALOR SETAR - Pembangkang sewajarnya menghormati prinsip demokrasi dengan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen, bukannya menimbulkan keresahan awam dengan mengajak rakyat berhimpun di jalanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sidang Dewan Rakyat sudah berlangsung selama lima hari, namun tidak ada sebarang usul dikemukakan oleh pembangkang.

Beliau berkata, ini menggambarkan pembangkang tidak serius dalam menggunakan saluran sah untuk mencabar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau pembangkang betul-betul hormati prinsip demokrasi, saya mahu lontarkan dua persoalan, mereka hendak lakukan di luar Parlimen atau dalam Parlimen?

"Jika luar Parlimen, tak ada apa-apa kesan. Jika dalam Parlimen, Perdana Menteri sudah buka seluas-luasnya peraturan. Perkara 18: usul yang boleh dimasukkan kalau ianya spesifik, melibatkan kepentingan awam.

"Jika pembangkang rasa semua itu dipenuhi, mereka boleh buat usul undi tak percaya,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri sudahpun membuka peluang kepada pihak pembangkang untuk mengemukakan usul berkenaan mengikut dua peruntukan iaitu Perkara 18 dan Perkara 27 Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Anwar sendiri beri jaminan beliau akan minta Speaker dahulukan usul undi tidak percaya untuk menjatuhkan beliau. Jadi bola di kaki pembangkang.

“Perkara 27, membolehkan usul itu dimasukkan. Kalau urusan kerajaan masuk, urusan kerajaan hendaklah didahulukan.

"Namun dalam kes ini, Perdana Menteri kata, usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan ditangguh dulu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, namun sehingga kini tidak ada sebarang langkah diambil oleh pembangkang di Parlimen, sebaliknya memilih untuk ‘menyerang’ dari luar.

“Hakikatnya pembangkang tak ada sokongan melainkan segmen mereka sahaja. Jadi cara mereka bawa di luar Parlimen.

"Mereka fikir kerajaan Madani akan buat sekatan, tidak ada kerana Perkara 10 Perlembagaan benarkan mereka berhimpun,” katanya.

Tambah beliau, pembangkang masih mempunyai masa untuk mempertimbangkan permintaan Anwar sendiri untuk kemukakan usul undi tidak percaya dalam Parlimen.

“Sebenarnya bola di kaki mereka. Kalau hasrat itu membuak-buak, tak boleh tahan lagi dua tahun tempoh tamat penggal, nak sangat jatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri sebab tak boleh lihat semua kerosakan.

"Tanggungjawab pembangkang sepatutnya turunkan Anwar dalam Parlimen, bukan riuh-rendah di luar,” ujarnya.

Mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar, Saifuddin berkata, kerajaan Madani sentiasa menjunjung prinsip Perlembagaan dengan menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Bawah Akta Perhimpunan Aman masih lagi berkuat kuasa beberapa sekatan, yang menyatakan larangan terhadap beberapa perkara seperti membawa senjata berbahaya, penyertaan kanak-kanak atau melakukan provokasi keterlaluan seperti membakar suar.

“Kalau ada perlanggaran, polis akan bertindak mengikut lunas undang-undang. Kita harap pembangkang ikut saluran yang betul,” katanya.

Saifuddin turut menempelak tindakan pembangkang yang disifatkan tidak bertanggungjawab kerana cuba menggambarkan imej negatif negara di saat ekonomi sedang pulih.

“Nak bagi isyarat buruk kepada pelabur, mereka (pembangkang) nak tunjuk wajah hodoh negara dengan himpunan jalanan.

"Jadilah pembangkang yang bertanggungjawab,” katanya.

Tegasnya lagi, setakat ini, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang elemen hasutan atau isu 3R dalam kempen pembangkang, namun pihaknya akan terus memantau situasi semasa.