Umpan Anwar mengena, Tun M jangan cabar – Ketua Cabang Keadilan Paya Besar

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad menyifatkan tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya memberikan imuniti dalam isu Pulau Batu Puteh, sebagai satu bentuk cabaran yang sudah ‘mengena umpan’.

Beliau berkata, meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan agar Tun Mahathir didakwa atas kecuaian mempertahankan kedaulatan negara, namun Anwar memilih untuk tidak mengambil tindakan atas faktor usia bekas Perdana Menteri itu yang sudah lanjut.

“Sama ada Anwar berbuat baik atau mengikut saranan RCI, beliau tetap akan diserang. Maka, Anwar perlu kembali kepada prinsip dan bertindak ‘ikut buku’.

“Berdepan dengan orang seperti Tun Mahathir, ihsan tidak berguna. Kerajaan perlu sahut cabarannya… orang kata umpan sudah mengena, tunggu apa lagi, sentap sajalah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Fauzuldin berkata, tindakan Tun Mahathir mutakhir ini seolah-olah mencabar kerajaan supaya mendakwanya, meskipun RCI sebelum ini mencadangkan beliau diheret ke muka pengadilan.

“Pada 19 Mei 2018, Perdana Menteri Singapura mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) selama kira-kira 30 minit.

“Dua hari kemudian, beliau menghantar surat kepada Peguamcara Negara memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan membuat semakan ke atas kes Pulau Batu Puteh.

“Kabinet hanya dibentuk pada 21 Mei 2018 iaitu pada hari surat itu dihantar, manakala mesyuarat pertama kabinet hanya berlangsung pada 23 Mei. Ini jelas menunjukkan keputusan dibuat Tun Mahathir secara unilateral,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebelum mesyuarat pertama kabinet berlangsung, satu e-mel telah dihantar kepada pihak Singapura bagi menyatakan bahawa Malaysia tidak berhasrat untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Ini membuktikan bahawa isu Pulau Batu Puteh tidak menjadi agenda utama kabinet dan keputusan itu dibuat secara peribadi oleh Tun Mahathir,” katanya.

Wan Fauzuldin turut mempersoalkan motif di sebalik keputusan tersebut yang dibuat hanya selepas pertemuan singkat bersama pemimpin Singapura.

“Persoalannya, mengapa selepas pertemuan tidak sampai sejam dengan Perdana Menteri Singapura, Tun Mahathir terus bersetuju untuk tidak merayu atau menyemak semula kes itu?” soalnya.

Pada Selasa lalu, Tun Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak mahukan sebarang bentuk imuniti daripada tindakan undang-undang dan bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah sekiranya benar-benar didapati bersalah dalam isu berkenaan.

Mengulas kenyataan itu, Anwar secara ringkas hanya memberi respon, “Biarlah dia.”