KUALA KANGSAR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak menghalang mana-mana ahlinya menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada Sabtu.
Pengerusi PSM, Dr D Jeyakumar berkata, pihaknya menghormati hak kebebasan berhimpun yang dijamin Perlembagaan, namun menegaskan bahawa parti itu tidak terlibat secara rasmi dalam penganjuran perhimpunan berkenaan.
"Kita tak halang sesiapa nak pergi. Kalau mereka nak pergi tengok, boleh hanya kita tidak mengatur untuk sokong.
"Ada parti yang dijemput untuk perhimpunan itu, dalam hal ini, PSM adalah antara parti yang tidak dijemput," katanya kepada pemberita sempena Kongres Nasional PSM ke-27 di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, keputusan untuk tidak menyatakan sokongan terhadap perhimpunan tersebut dibuat selepas pihaknya tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai tujuan sebenar program itu.
"Kami tak boleh menyokong satu perhimpunan yang kami sendiri tak jelas," katanya sambil memaklumkan PSM kini mempunyai keahlian hampir 3,000 orang seluruh negara.
Menurut Jeyakumar, kebanyakan kepimpinan PSM sedang memberi tumpuan penuh terhadap penganjuran kongres nasional parti yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad.
"Kebanyakan ahli kepimpinan semua ada di sini mengikuti Kongres Nasional jadi penyertaan rasmi dalam mana-mana perhimpunan di luar bukan menjadi keutamaan ketika ini," katanya.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini berkata, perhimpunan itu dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.