SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memperakui cadangan penubuhan Barisan Pembangkang Bersatu (BPB) dan akan melaksanakan beberapa perbincangan susulan dengan parti politik di luar blok kerajaan beserta pemegang taruh dalam masyarakat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kertas cadangan pembentukan BPB itu dibentangkan oleh pengerusi parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat pada Jumaat.
“Matlamat BPB bertujuan mencapai muafakat dengan parti politik di luar kerajaan dan mengambil pendirian sama dalam perkara berkaitan kepentingan rakyat serta negara,“ katanya dalam kenyataan.
Pada 15 Julai lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membina hubungan dengan parti di luar blok kerajaan bagi membentuk BPB.
Tiga hari kemudiannya, Muhyiddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertemu dengan parti selain Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang berada di dalam PN.
Pertemuan itu turut dihadiri pemimpin daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP).
Sementara itu, Azmin memaklumkan, Majlis Tertinggi PN membentuk Jawatankuasa Induk untuk PRN Sabah yang dipengerusikan Hamzah dan dianggotai oleh wakil-wakil parti anggota di peringkat pusat serta negeri berkenaan.
Tambahnya, jawatankuasa terbabit akan mengena pasti kerusi-kerusi yang bakal ditandingi oleh PN, merencana strategi dan pendekatan di setiap kawasan serta menggubal manifesto buat rakyat Sabah.
“Majlis Tertinggi PN memandang serius masalah prasarana yang terus membebankan rakyat Sabah khususnya bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Selain itu, PN menyokong sepenuhnya Himpunan Turun Anwar demi membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi dan kezaliman pemerintah.
“PN mengingatkan bahawa himpunan aman ini adalah manifestasi rakyat untuk membawa perubahan yang sebenar demi kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat,“ ujar beliau.