SHAH ALAM - Segala langkah kerajaan dan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini menjadi bukti bahawa Kerajaan Madani bukan sekadar menumpukan pada pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Danish Hairudin berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk mengutamakan rakyat sambil memacu ekonomi negara.
Menurutnya, bantuan tunai, kenaikan gaji minimum, penurunan kadar pengangguran dan subsidi bersasar adalah bukti keberanian kerajaan membawa reformasi yang berpihak kepada rakyat.
"Kerajaan turut memastikan kesejahteraan rakyat melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, penurunan kadar pengangguran ke 3.0 peratus, bantuan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion serta pengumuman SARA RM100 untuk setiap warganegara dewasa mulai 31 Ogos 2025.
"Langkah tambahan termasuk penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, tol kekal tanpa kenaikan, dan perluasan Jualan Rahmah Madani bernilai RM600 juta.
"Program di akar umbi turut diperhebat melalui Sejati Madani dengan peruntukan sehingga RM100 ribu kepada komuniti untuk menjana aktiviti ekonomi setempat. Sehingga kini, lebih 8,600 projek ekonomi komuniti telah dibangunkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
Ia merangkumi bantuan tunai sekali bayar RM100 untuk semua rakyat berumur 18 tahun ke atas; pengisytiharan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia; peruntukan penganjuran Juala Rahmah Madani ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta dan penangguhan kenaikan kadar tol serta harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 pada akhir September.
Danish menjelaskan, sejak 2023, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan KDNK 4.4 peratus suku pertama 2025 dan unjuran 4.5 peratus pada suku kedua.
"Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23 Indeks Daya Saing Dunia 2025, pelaburan diluluskan mencatat RM384 bilion, manakala Ringgit mengukuh 5 peratus ke paras RM4.23 berbanding $AS," katanya.
Sehubungan itu ujar beliau, AMK yakin agenda Madani terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menyeru semua pihak menyokong usaha pembaharuan tersebut.