Pengumuman PM tidak jejas himpunan Sabtu ini - Sanusi

 

ALOR SETAR - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bantuan tunai dan penurunan harga minyak tidak akan menjejaskan perancangan rakyat untuk menghadiri Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan Sabtu ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengumuman tersebut hanya dibuat bagi meredakan suhu panas politik selain bertujuan mengelak rakyat turun berhimpun.

Menurutnya, biarpun pengumuman tersebut bersifat positif namun ia tidak akan menghalang rakyat untuk berhimpun menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Madani.

“Umum sekadar untuk redakan ‘kepanasan’ elak rakyat turun pada himpunan Sabtu ini, ia tak akan jejaskan perancangan rakyat untuk berhimpun.

"Saya percaya lebih ramai akan hadir dengan modal RM100 yang diberikan itu. Saya fikir ia mungkin diumum lebih awal sempena Bajet 2026 yang biasanya diumum pada Oktober kali ini mungkin kerana suhu panas, diumum lebih awal. Itulah cara orang politik,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat berhimpun bukan hanya disebabkan isu harga minyak, sebaliknya terdapat banyak isu lain yang mendorong mereka turun ke jalanan.

“Umum RM100 untuk rakyat, kita ucap terima kasih. Umum harga minyak turun pun kita ucap terima kasih. Rakyat boleh hadir himpunan dengan kos lebih rendah sikit.

“Tapi saya ingat lagi, Anwar umum dulu masa-mula jadi PM, harga minyak akan turun, sekarang sudah tiga tahun, turun juga sikit, terima kasih. Saya ulang, sudah tiga tahun,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir pada himpunan tersebut, Muhammad Sanusi berkata, beliau belum pasti namun bergantung kepada kelapangan sekiranya tidak terikat dengan sebarang program pada hari tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 turun enam sen kepada RM1.99 seliter sebelum akhir September ini.

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pula akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tol di 10 lebuh raya kekal dan kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta bagi membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.

Beliau juga mengisytiharkan 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.