ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia mempertimbangkan kemungkinan bertanding untuk jawatan Naib Presiden Pas sekiranya dicalonkan pada muktamar tahunan parti tahun ini.
Beliau berkata, setakat ini belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada parti berhubung pencalonan tersebut dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan serta ahli parti untuk menentukan yang terbaik.
“Saya belum buat keputusan. Sudah dua kali saya tarik diri sebelum ini. Kalau tahun ini dicalonkan, saya akan pertimbangkan sama ada ada keperluan atau tidak.
“Kalau ada orang lain yang lebih layak, bagi kepada mereka. Saya muda lagi, baru 51 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, mana-mana jawatan dalam parti bukan ditentukan oleh calon, sebaliknya oleh ahli parti yang mencalonkan individu tertentu.
“Orang yang tentukan, bukan saya. Saya pun tak pernah tawar diri untuk bertanding.
“Pandangan saya, kalau ada yang lebih layak, dia patut berada di situ (Naib Presiden). Saya rasa ada orang lain yang lebih layak, jadi berilah pada mereka,” katanya.
Tambah beliau, dirinya tidak keberatan untuk kekal sebagai orang bawah sekiranya terdapat calon lain yang lebih layak dan berupaya memimpin parti.
“Saya tak ada masalah jadi orang bawah, berilah kepada mereka yang ada kelayakan dan keupayaan. Mulut tak celupar pun bagus, tapi mulut lepas kena ada juga dalam parti, kena ada orang yang boleh cakap ‘direct’,” ujarnya.
Sanusi jelaskan, jawatan bukanlah sesuatu yang menjadi rebutan dalam Pas sehingga perlu mengorbankan kedudukan semata-mata untuk mengejar pangkat dalam parti.
“Dalam Pas, kita tak berebut jawatan sampai letak jawatan menteri,” katanya dengan nada seloroh.
Menurutnya lagi, kebiasaannya selepas pencalonan ditutup, parti akan maklumkan kepada calon menerusi surat, sama ada bersedia menerima pencalonan untuk bertanding atau sebaliknya.
“Tahun lepas saya pangkah belum sedia,” jelasnya.
Ditanya sama ada Naib Presiden Pas sedia ada perlu dikekalkan atau perlu berlaku perubahan, Muhammad Sanusi berkata, ketiga-tiga penyandang, iaitu Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kelebihan masing-masing.
“Semua orang itu hebat dalam Pas. Saya banyak kekurangan,” katanya ringkas.
Difahamkan, pemilihan dalam Pas akan diadakan pada muktamar tahunan yang dijadualkan berlangsung September ini dengan beberapa jawatan utama dijangka menjadi perhatian perwakilan.
Baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pencalonan Muhammad Sanusi sebagai Naib Presiden Pas atas rekod cemerlang sebagai Menteri Besar dan pengaruhnya dalam parti.