SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedia memulangkan bantuan RM100 sekali bayar yang bakal diterima melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi membolehkan dana terkumpul digunakan untuk menaik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara.
Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan dicadangkan mewujudkan satu mekanisme untuk rakyat yang tidak mahu atau tidak memerlukan bantuan SARA RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar ia boleh ‘dipulangkan’ secara sukarela kepada kerajaan.
“Saya percaya Anwar, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semua menteri Kabinet dan ramai ahli Parlimen serta ADUN juga akan sanggup melepaskan bantuan SARA RM100 mereka demi rakyat.
“Saya orang pertama yang akan salurkan. Satu solusi menang-menang – rakyat boleh pilih, kerajaan pun menang.
“Daripada membelanjakan wang untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan menaik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa setiap warganegara dewasa berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 sekali bayar melalui MyKad di bawah program SARA.
Pengumuman tersebut merupakan antara lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan bagi Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
Bayaran SARA itu dibuat bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada hujung bulan depan dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama.
Kerajaan juga berhasrat agar jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun dapat diagihkan semula kepada program bantuan golongan rentan pada tahun hadapan.
Ka Siong berkata, dana yang terkumpul boleh digunakan untuk menghentikan skim Rakan KKM yang didakwa berat sebelah dan hanya menguntungkan pesakit yang mampu membayar lebih untuk memotong barisan.
“Duit terkumpul boleh digunakan untuk mempercepatkan rawatan elektif bagi 15,000 pesakit di hospital kerajaan yang kini perlu menunggu sehingga 21 bulan.
“Selain itu, salurkan dana tersebut untuk mengurangkan masa menunggu pembedahan elektif di hospital kerajaan serta berikan biasiswa kepada pelajar SPM straight A, lepasan STPM dan matrikulasi dengan PNGK cemerlang yang masih dinafikan peluang ke kolej matrikulasi atau universiti awam untuk mengikuti kursus pilihan utama mereka,” katanya.