SHAH ALAM – Sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh segera mengambil langkah memperkukuh kebebasan badan kehakiman.
Gesaan mereka itu termasuk meminta pucuk kepimpinan tertinggi badan kehakiman yang baharu dilantik menyelesaikan lima isu penting yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan komuniti perundangan.
Dalam satu kenyataan bersama ditandatangani sembilan ahli Parlimen PKR pada Jumaat, mereka menyifatkan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara sedikit sebanyak meredakan keresahan orang ramai, terutamanya apabila perkara itu disusuli pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, kumpulan ahli Parlimen PKR diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli itu mengakui pelantikan Wan Ahmad Farid turut mengundang reaksi bercampur baur daripada masyarakat.
Hal ini memandangkan latar belakangnya sebagai bekas pemimpin UMNO dan kedudukan beliau yang dilihat lebih junior berbanding beberapa hakim kanan lain sedikit sebanyak mengundang perdebatan banyak pihak.
Justeru, mereka berharap Ketua Hakim Negara yang baharu itu dapat menerima pandangan ini secara terbuka dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk memimpin institusi kehakiman dengan lebih berwibawa.
"Oleh itu, sebagai ahli-ahli parlimen, kami berharap kepimpinan badan kehakiman di bawah Datuk Wan Ahmad Farid akan meneruskan usaha mengukuhkan kebebasan badan kehakiman dengan menyelesaikan isu-isu berikut yang telah timbul.
"Pertama, pucuk kepimpinan badan kehakiman sedia ada perlu memuktamadkan lantikan hakim-hakim untuk mengisi 31 kekosongan secepat mungkin untuk mengelakkan tergendalanya perjalanan pentadbiran kehakiman.
"Kedua, mereka harus memastikan lantikan hakim-hakim adalah benar-benar berasaskan merit dan senarai kekananan agar ia berlaku adil kepada hakim-hakim yang telah lama berkhidmat dan bertanggungjawab menjaga mutu dan nama baik badan kehakiman," kata sembilan ahli Parlimen PKR berkenaan dalam satu kenyataan.
Selain Rafizi. kenyataan media bersama turut ditandatangani Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Mengulas lanjut, sembilan ahli Parlimen PKR turut mengingatkan bahawa proses pelantikan hakim hendaklah mematuhi lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tanpa sebarang campur tangan atau percubaan mencatur keputusan.
Tambah mereka, sebarang cubaan mempengaruhi lantikan hakim bukan sahaja mencabuli prinsip kebebasan badan kehakiman, malah melemahkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman.
Menurut mereka lagi, masih terdapat isu-isu belum diselesaikan di peringkat JAC termasuk dakwaan campur tangan terhadap keputusan kehakiman yang dikatakan berlaku sebelum ini.
"Kami mahu tindakan susulan yang telus dan berintegriti dilaksanakan segera," jelas sembilan ahli Parlimen PKR berkenaan.
Mengulas kemelut yang tercetus sebelum pelantikan dibuat, kumpulan sembilan ahli Parlimen PKR itu menegaskan sudah menjadi bukti jelas betapa perlunya reformasi institusi kehakiman dilaksanakan secara menyeluruh.
Tegas mereka, selagi tiada langkah penambahbaikan terhadap proses pelantikan hakim yang dibentangkan kepada rakyat dan dilaksanakan, isu ini tidak boleh dianggap selesai.
"Antara cadangan yang diketengahkan termasuk keperluan mewujudkan had terhadap kuasa Perdana Menteri untuk menolak calon JAC, di mana setiap penolakan perlu disertakan alasan rasmi sama ada kepada JAC atau Parlimen.
"Kami juga mencadangkan agar wakil badan guaman dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dilantik secara automatik ke dalam JAC bagi mengurangkan kuasa mutlak Perdana Menteri dalam menentukan komposisi badan itu," ulas mereka.
Selain itu, kumpulan sembilan ahli Parlimen PKR berkenaan juga berpandangan bahawa Parlimen wajar diberi peranan dalam proses pengesahan pencalonan hakim yang dikemukakan oleh JAC, sama ada melalui pendengaran awam seperti yang diamalkan di negara lain atau menerusi satu mekanisme undi khas yang boleh diperhalusi.
“Kami akan terus memainkan peranan sebagai suara dari bangku belakang Parlimen untuk memastikan proses reformasi institusi kehakiman berjalan secara konsisten dan menyeluruh demi menjamin kebebasan, integriti serta kewibawaan badan kehakiman negara,” tegas mereka
Pada malam Khamis, Wan Ahmad Farid yang sebelum ini memegang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara baharu, bersama-sama pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Pengumuman pelantikan mereka oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sekali gus melengkapkan kepimpinan tertinggi badan kehakiman negara.
Ketiga-tiga mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai ini di Istana Negara.