Pembangkang dakwa imej negara makin merosot di bawah Anwar

ALOR SETAR - Pembangkang mendakwa imej negara semakin merosot di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bukan sahaja rakyat di negara ini sudah hilang kepercayaan, malah dunia juga tidak lagi menghormati Malaysia kerana kegagalan pentadbiran sekarang.

Dakwanya, Malaysia kini dipimpin oleh pemimpin yang telah merosakkan imej negara, malah rakyat juga tidak lagi mahu mempercayai beliau.

“Ini akan merosakkan lagi imej negara kita dan akan menyebabkan negara tidak lagi dihormati,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.

Hadir sama, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mengajak rakyat hadir beramai-ramai pada Himpunan Turun Anwar 26 Julai di Kuala Lumpur untuk menyuarakan hasrat rakyat yang sudah muak dengan kegagalan pentadbiran kerajaan sekarang.

“Hutang negara makin besar. Negara berdepan cabaran paling besar sekarang dengan pelbagai isu, institusi kehakiman dipersoal rakyat, malah dunia juga sudah bertanya, apakah sistem kehakiman negara ini masih boleh dipercayai,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak lagi diyakini masyarakat antarabangsa.

“Sebab itu rakyat mesti bangkit dan bersuara. Kita buktikan rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, semua kaum, bangkit bersama. Tunjukkan suara anda yang sudah tidak tahan lagi dengan tabiat dan cara mereka memerintah yang merosakkan negara,” ujarnya.

Hamzah tegaskan, Perikatan Nasional (PN) bersedia menawarkan kepimpinan yang ikhlas, untuk mengembalikan semula maruah Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dunia.